SOALAN :
Ustaz...
saya ada kemusykilan pasal ganti puase...
Boleh ke seorang anak bantu ibunya gantikn puase... Sedangkn ibunya masih hidup... tapi sudah berusia (warga emas)...
JAWAPAN :
Tidak perlu gantikan puasa untuk ibu yang sudah tua (terlalu uzur). Tetapi hanya perlu bayar FIDYAH sahaja mengikut bilangan hari yang ditinggalkan puasanya.
Allah SWT berfirman :
.وَعَلَى الَّذِينَ يُطِيقُونَهُ فِدْيَةٌ طَعَامُ مِسْكِينٍ
Maksudnya : “Dan WAJIB bagi orang-orang yang berat menjalankannya (jika mereka tidak mampu berpuasa) membayar FIDYAH, (iaitu dengan) memberi makan (kepada) orang miskin.”
- (Surah al-Baqarah, ayat 184).
Ibnu ‘Abbas r.a menyatakan bahawa :
هُوَ الشَّيْخُ الْكَبِيرُ وَالْمَرْأَةُ الْكَبِيرَةُ لاَ يَسْتَطِيعَانِ أَنْ يَصُومَا، فَلْيُطْعِمَانِ مَكَانَ كُلِّ يَوْمٍ مِسْكِينًا
Maksudnya : “(Yang dimaksudkan dalam ayat tersebut) ialah untuk orang lelaki yang sudah sangat tua dan orang perempuan yang sudah sangat tua yang tidak mampu melaksanakan puasanya. Maka hendaklah mereka MEMBERI MAKAN setiap hari kepada orang miskin.”
- (Riwayat al-Bukhari, no. 4505).
Kadar fidyah dikira berdasarkan kadar harga beras (makanan asasi penduduk) semasa iaitu sebanyak SATU CUPAK. Kadar tersebut berubah mengikut harga yang ditetapkan pemerintah di sesuatu tempat. Beras tersebut hendaklah diberi makan kepada faqir dan miskin, dan BUKANNYA berbentuk wang tunai, pakaian dan sebagainya.
Satu cupak bersamaan dengan 650 gram (atau 675 gram). Satu cupak dinilai bersamaan dengan ¼ daripada 1 gantang Baghdad. Manakala 1 gantang Baghdad pula bersamaan dengan 2.6 kilogram (atau 2.7 kilogram).
Harga beras bagi sukatan ialah mengikut harga pasaran semasa. Sebagai contoh, harga zakat fitrah pada tahun 1437 Hijriyyah bagi satu gantang beras ialah RM7.00. Oleh itu, satu cupak (650 gram atau 675 gram) beras bagi tahun 1437 Hijriyyah ialah RM1.75 (atau RM1.80).
Berikut ialah contoh pengiraan fidyah yang perlu dibayar mengikut bilangan hari puasa yang ditinggalkan :
1. 10 hari tinggalkan puasa x 675 gram beras (RM1.80) = 6.75 kilogram beras (bersamaan RM18).
2. 20 hari tinggalkan puasa x 675 gram beras (RM1.80) = 13.5 kilogram beras (bersamaan RM36).
3. 30 hari tinggalkan puasa (sepanjang Ramadhan) x 675 gram beras (RM1.80) = 20.25 kilogram beras (bersamaan RM54).
.واللَّه أعلم بالصواب
AL-FAQIR ILALLAH :
Al-Faqir Syamsul Hadi bin Haji Abdul Sukor.
Guru,
Sekolah Menengah Agama al-Taqwa (SMAT),
Bukit Beruntung, Hulu Selangor.
(Khamis, 6 Ramadhan 1438 Hijriyyah / 1 Jun 2017).
www.syamsulhadisukor.blogspot.com
NOTA HUJUNG :
1. Fidyah ialah denda ke atas seseorang Islam yang meninggalkan puasa wajib (Ramadhan) atas sebab-sebab tertentu, ataupun sengaja melewatkan puasa ganti (qadha) bulan Ramadhan sehingga masuk Ramadhan tahun berikutnya.
Hukum membayar fidyah ialah WAJIB. Ia wajib disempurnakan mengikut bilangan hari puasa yang ditinggalkan. Ia juga menjadi satu tanggungan (hutang) kepada Allah SWT sekiranya tidak dilaksanakan.
Kadar bayaran fidyah berubah mengikut harga yang ditetapkan oleh pemerintah di sesuatu tempat. Pengiraan kadar fidyah berdasarkan kadar harga beras (makanan asasi penduduk). Beras fidyah tersebut hendaklah diagihkan kepada faqir atau miskin.
*[Lembaga Zakat Selangor (LZS - MAIS) menerima pembayaran fidyah secara tunai atau dalam bentuk beras. Bagi pembayaran secara tunai pula, LZS akan menukarkan tunai tersebut dalam bentuk beras dan mengagihkannya kepada faqir dan miskin. Bermula tahun 2012, LZS akan mengenakan tambahan RM0.05 sebagai upah untuk mengagihkan fidyah kepada asnaf].
2. SEBAB-SEBAB DIKENAKAN FIDYAH.
a) Uzur menunaikan puasa wajib.
Terdiri daripada golongan yang menghidapi penyakit kronik dan tidak mempunyai harapan untuk sembuh, atau golongan tua (sangat uzur) yang tidak mampu berpuasa, atau kedua-duanya sekali. Fidyah dikenakan pada tahun Ramadhan yang sama.
b) Wanita hamil yang tidak berpuasa kerana bimbang keselamatan bayi dalam kandungannya.
Wanita yang tidak berpuasa kerana berasa bimbang akan keselamatan bayi yang dikandungnya seperti dikhuatiri berlaku keguguran. Golongan ini dikenakan membayar fidyah sebaik sahaja habis Ramadhan pada tahun yang sama, dan juga menggantikan (qadha) puasa yang ditinggalkannya. Jika telah tiba Ramadhan tahun berikutnya, maka wanita ini dikenakan fidyah lagi kerana lewat menggantikan puasa.
c) Ibu yang menyusukan anak.
Wanita yang tidak berpuasa kerana berasa bimbang akan memudharatkan bayi yang disusuinya seperti kurang air susu atau menjejaskan kesihatan bayinya. Golongan ini dikenakan membayar fidyah sebaik sahaja habis Ramadhan pada tahun yang sama dan juga menggantikan (qadha) puasa yang ditinggalkannya. Jika telah tiba Ramadhan tahun berikutnya, maka wanita ini dikenakan fidyah lagi kerana lewat menggantikan puasa.
d) Orang yang telah meninggal dunia.
Hutang puasa bagi orang yang telah meninggal dunia hendaklah disempurnakan bayaran fidyahnya oleh waris-warisnya mengikut bilangan hari yang ditinggalkan sebelum pembahagian harta pusaka dibuat.
e) Melambatkan ganti (qadha) puasa.
Orang yang melambatkan ganti puasanya sehingga telah melangkah tahun yang berikutnya (bulan Ramadhan), maka dia dikenakan denda membayar fidyah dan juga wajib menggantikan (qadha) puasa yang ditinggalkannya. Bayaran fidyah akan berganda mengikut jumlah tahun-tahun yang ditinggalkan.
3. Ulama Malikiyyah dan Syafi’iyyah berpendapat bahawa kadar fidyah ialah 1 mud (مدّ) bagi setiap hari tidak berpuasa. Pendapat ini juga dipilih oleh Towus, Sa’id bin Jubair, as-Sauri dan al-Auza’i. Manakala ulama Hanafiyyah pula berpendapat bahawa kadar fidyah yang wajib dibayar ialah dengan 1 so’ (صاع) kurma atau 1 so’ sya’ir (gandum) atau ½ so’ hintoh (حنطة) (biji gandum). Ia dikeluarkan untuk sehari puasa yang ditinggalkan dan diberikan makan untuk orang miskin.
- (Rujukan : Al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah, 2/11538).
Al-Qadhi ‘Iyadh menyatakan bahawa : “Jumhur (majoriti ulama) berpendapat bahawa kadar fidyah ialah satu mud (مدّ) bagi setiap hari (puasa) yang ditinggalkan.”
- (Rujukan : Al-Minhaj Syarah Sahih Muslim, 8/21).
Al-Lajnah ad-Daimah Lil Buhus al-Ilmiyyah Wal Ifta (Fatwa Arab Saudi) menyatakan bahawa ukuran fidyah ialah setengah so’ (صاع) daripada makanan asasi di negeri masing-masing (samada dengan kurma, beras, gandum dan lain-lain). Mereka menerima pakai ukuran ini berdasarkan kepada fatwa oleh beberapa orang sahabat, antaranya ialah Ibnu ‘Abbas r.a.
- (Rujukan : Fatawa al-Lajnah ad-Daimah Lil Buhus al-Ilmiyyah Wal Ifta, no. 1447, 10/198).
Ukuran 1 so’ (صاع) ialah bersamaan dengan 4 mud (مدّ). Satu so’ ialah kira-kira 3 kilogram. Maka setengah so’ ialah kira-kira 1½ kilogram.
Dalam masalah ini, paling tepat ialah dengan mengembalikannya kepada 'uruf (kebiasaan yang lazim bagi sesebuah tempat). Seseorang itu dianggap telah sah membayar fidyah jika telah memberi makan kepada seorang miskin untuk sehari puasa yang ditinggalkan.
- (Rujukan : Syarhul Mumti’, 2/30-31).
4. FATWA NEGERI SELANGOR : HUKUM GANDAAN FIDYAH DAN KIFARAH.
Jawatankuasa Fatwa telah dikemukakan dengan persoalan tentang hukum gandaan fidyah dan kifarah. Pihak Jawatankuasa diminta untuk memberi pendapat dan keputusan tentang perkara tersebut.
KEPUTUSAN :
i. Mesyuarat Jawatankuasa Perunding Hukum Syara’ (Fatwa) Negeri Selangor yang bersidang pada 16 Januari 2001 telah sebulat suara membuat keputusan bahawa pembayaran-pembayaran fidyah dan kifarah yang tertangguh adalah tidak digandakan (harus). Ini menurut sebahagian pandangan mazhab Syafi'i.
ii. Walau bagaimanapun, sekiranya pihak pembayar ingin membuat pembayaran fidyah dan kifarah secara berganda, maka ianya boleh diterima.
iii. Oleh itu, pembayaran fidyah dan kifarah ini diberi dua pilihan :
a) Digandakan pembayaran fidyah dan kifarah mengikut tahun yang ditinggalkan.
b) Tidak digandakan pembayaran.
iv. Pandangan ini diambil kira kerana ia berbetulan dengan ajaran Islam yang tidak sama sekali menyusahkan manusia yang menganut ajarannya.
KETERANGAN / HUJAH :
Latar Belakang.
i. Fidyah ialah satu istilah yang terdapat di dalam fiqh al-Islami. Ia lebih difahami sebagai “satu cara untuk menggantikan puasa Ramadhan yang tertinggal disebabkan keuzuran yang diterima oleh syara' atau tidak”.
ii. Jumlah fidyah yang dibayar adalah berdasarkan kepada bilangan puasa yang ditinggalkan. Sekiranya bilangan puasa yang ditinggalkan itu banyak, maka banyaklah fidyah yang perlu dibayar. Begitu juga sebaliknya.
iii. Sekiranya jumlah yang perlu dibayar adalah sedikit, ia tidak menjadi masalah. Tetapi sekiranya jumlah tersebut terlalu tinggi, masalah akan timbul apabila berlaku penggandaan dalam pengiraan fidyah apabila pembayaran ditangguhkan untuk beberapa Ramadhan.
Pendapat Ulama.
Terdapat dua pandangan terhadap masalah penggandaan kiraan fidyah tertangguh :
a) Tidak Digandakan :
Ia adalah pandangan mazhab Hanafi, Maliki dan Hanbali. Pandangan ini dikukuhkan dengan hujah bahawa penangguhan terhadap sesuatu ibadah tidak akan menambahkan bilangan ibadah tersebut sebagaimana yang berlaku kepada ibadah haji yang tertangguh.
b) Digandakan :
Pandangan ini dikukuhkan dengan hujah bahawa setiap penangguhan tersebut membentuk fidyah yang lain. Fidyah yang bertambah tersebut tidak boleh disatukan menjadi satu.
.والله سبحانه وتعالى أعلم وهو يهدي من يشاء إلى سبيل الهدى والرشاد
--------------
*Tulisan atau jawapan di atas hanyalah sekadar pandangan saya sebagai seorang hamba yang faqir lagi dha'if di sisi Allah SWT untuk memenuhi kehendak dan hajat individu yang bertanyakan soalan kepada saya. Maka boleh jadi pandangan dan jawapan tersebut salah sepenuhnya, silap semuanya dan bercanggah dengan disiplin ilmu Islam yang telah disusun oleh para ulama yang mujtahid dan mu'tabar. Oleh itu, mohon supaya tidak berpegang dengan pandangan dan jawapan tersebut, serta mohon supaya ianya tidak dijadikan hujjah dan sandaran. Jawapan tersebut juga boleh diabaikan, dipadam atau dibuang terus. Jika masih hadapi kemusykilan berkaitan dengan persoalan agama dan hukum, maka boleh rujuk terus kepada para ulama yang mu'tabar lagi mujtahid, yang faqih lagi benar (haq), dan diiktiraf keilmuannya. Sesungguhnya kepada Allah SWT sahajalah kita memohon dan berserah.
.الله المستعان