Sabtu, 22 April 2017

SOALAN MENGENAI SEBARAN MESEJ BERKAITAN APLIKASI AL-QURAN DAN TERJEMAHANNYA OLEH MAULVI SHER ALI DARIPADA PERTUBUHAN AHMADIYYA MUSLIM COMMUNITY

SOALAN :

“Urgent : Important Notice to all Muslims from Dr. Zakir Naik..... Warning. A New Version of Quran has been released on Apple play store. The name of this application is “The Holy Quran in Arabic text and English translation”, “Translated by Maulvi sher Ali”. Ahmediyya Muslim community has been clearly mentioned in app information in iPhone app store. Plz make Muslims aware not to buy or download this application. All the Muslims are requested to perform their duty by sharing it. Plz share this information as much as u can. Please Send Now!!!”

Betul ke tu ustaz? so holy quran tu lainlah isinye... ke sbb ditafsir maulvi tu?

JAWAPAN :

1. Isu ini melibatkan kepentingan umat Islam di seluruh negara kerana ia telah tersebar (viral / tular) di kalangan umat Islam di Malaysia bahkan di seluruh dunia sama ada melalui sebaran mesej sama seperti di atas sebagaimana yang disebarkan menerusi blog, laman web, SMS, WhatsApp dan Facebook, ataupun dimuat-turun (install / download) menerusi aplikasi di dalam device / smartphone (mobile operating system Android dan iOS). Lebih-lebih lagi ia berhubung-kait dengan AJARAN SESAT QADIANI / AHMADIYYAH yang diasaskan oleh MIRZA GHULAM AHMAD (1835-1908) yang berasal dari Qadian, Punjab, India. Ajaran sesatnya diteruskan oleh pertubuhan AHMADIYYA MUSLIM COMMUNITY sehingga kini.

2. Ajaran sesat Qadiani / Ahmadiyyah yang diasaskan oleh Mirza Ghulam Ahmad telah difatwakan sebagai SESAT, MURTAD, KAFIR DAN TERKELUAR DARIPADA ISLAM oleh para ulama dan mufti di seluruh dunia termasuklah di Malaysia. Antara kesesatan dan penyelewengan ajaran Qadiani / Ahmadiyyah ialah Mirza Ghulam Ahmad telah mengaku dirinya dan diakui oleh para pengikutnya sebagai Imam Mahdi, Nabi Isa a.s dan nabi selepas Rasulullah SAW. Bahkan beliau juga telah mengaku sebagai jelmaan Krishna iaitu sembahan penganut Hindu.

3. Selain itu, penyelewengan dan kesalahan besar yang dilakukan oleh ajaran Qadiani / Ahmadiyyah ialah mengubah ayat-ayat al-Quran atau diistilahkan sebagai Tahrif al-Quran. Perbuatan ini adalah sama seperti perbuatan orang Yahudi yang mengubah dan menyelewengkan ayat-ayat di dalam kitab Taurat, dan sama seperti perbuatan orang Nasrani yang mengubah dan menyelewengkan ayat-ayat di dalam kitab Injil. Tahrif bermaksud perbuatan mengubah atau meminda bentuk dan kedudukan ayat-ayat al-Quran. Sebarang pengurangan, penghapusan dan penambahan yang disengajakan terhadap ayat-ayat al-Quran adalah merupakan tahrif. Antara contoh-contoh tahrif yang dilakukan oleh ajaran sesat Qadiani / Ahmadiyyah ialah seperti mengubah ayat ke-23 surah al-Baqarah, ayat ke-52 surah al-Hajj dan ayat pertama surah al-Qadr. Terdapat banyak lagi ayat yang diubah atau ditahrifkan oleh Mirza Ghulam Ahmad di dalam al-Quran. Semuanya bertujuan untuk menguatkan segala dakwaan palsunya. Perbuatan tahrif iaitu mengubah atau meminda bentuk dan kedudukan ayat-ayat al-Quran dengan sengaja sepertimana yang dilakukan oleh ajaran sesat Qadiani / Ahmadiyyah adalah dianggap sebagai MURTAD, KAFIR DAN TERKELUAR DARIPADA ISLAM.

4. Kembali semula kepada isu dan soalan di atas. Mesej atau ‘Important Notice’ tersebut dikatakan daripada Dr. Zakir Naik, iaitu seorang tokoh pendakwah Islam yang terkenal di peringkat antarabangsa. Tetapi tidak dapat dipastikan sama ada ia benar-benar ditulis dan dinyatakan oleh Dr. Zakir Naik ataupun tidak. Untuk kepastian, boleh rujuk status dan kenyataan Dr. Zakir Naik di dalam laman web dan page Facebook rasmi beliau. Sebenarnya isu ini telah disebarkan sejak tahun 2012 (lima tahun yang lepas) melalui medium internet dan media sosial serta banyak disiarkan di dalam laman-laman web dan blog-blog. Antaranya ialah blog yang dikenali sebagai ‘Peribadi Rasulullah’ yang boleh diakses melalui https://peribadirasulullah.wordpress.com. Blog ini telah menyiarkan isu ini sebanyak dua kali iaitu yang pertama bertajuk ‘Al-Quran Versi Qadyani dan Ahmadiah yang Salah’ bertarikh 2/12/2012, dan yang kedua bertajuk ‘Versi Baru al-Quran Telah Dikeluarkan Apple App Store’ bertarikh 15/2/2013. Imam Muda Hassan (juara program realiti Imam Muda musim kedua) juga mengeluarkan status yang sama di dalam Facebook beliau bertarikh 15/2/2013. Manakala laman web Berita Harian (BH Online) telah menyiarkan berita bertajuk ‘Al-Quran Dicemari’ bertarikh 11/1/2014 yang menyatakan mengenai isu yang sama.

5. Saya tidak menjumpai aplikasi ‘The Holy Quran in Arabic Text and English Translation’ berserta kenyataan ‘Translated by Maulvi Sher Ali’ melalui carian di dalam aplikasi Play Store (mobile operating system Android). Maka sudah pasti ia boleh dicapai melalui Apple’s App Store atau mobile operating system iPhone (iOS) dan Apple devices sahaja. Saya hanya menjumpai aplikasi ‘The Holy Quran Arabic/English’ versi 2.0 bersaiz 40.14 MB yang dihasilkan oleh pertubuhan Ahmadiyya Muslim Community yang mendukung ajaran sesat Qadiani / Ahmadiyyah. Namun demikian, saya tidak menjumpai kenyataan ‘Translated by Maulvi Sher Ali’ di dalam penerangan atau info ringkas aplikasi ‘The Holy Quran Arabic/English’ yang dipaparkan. Tetapi nama Maulvi Sher Ali atau Maulawi Sher Ali ada dinyatakan di dalam laman web rasmi ajaran sesat Qadiani / Ahmadiyyah yang boleh diakses di laman www.alislam.org. Kali terakhir aplikasi ini (‘The Holy Quran Arabic/English’) dikemaskini (updated) ialah pada 1/3/2012 dengan setakat ini telah dimuat-turun (downloads) sebanyak 100,000. Developer aplikasi ini boleh dihubungi melalui alamat e-mel yang tertera iaitu masood@alislam.org (pengikut ajaran sesat Qadiani / Ahmadiyyah).

6. Maulvi Sher Ali atau Maulawi Sher Ali (1875-1947) ialah seorang tokoh ilmuwan ajaran sesat Qadiani / Ahmadiyyah yang berasal dari Bhera, Sargodha, Pakistan. Beliau juga merupakan sahabat kepada Mirza Ghulam Ahmad dan telah berbai’ah (berjanji taat setia) kepadanya. Maulvi Sher Ali telah menghasilkan terjemahan al-Quran ke dalam bahasa Inggeris berjudul ‘The Holy Quran : Arabic Text and English Translation’, dan terjemahan tersebut telah diterbitkan pada tahun 1955, iaitu selepas 8 tahun kematian beliau. Maulvi Sher Ali menjadi guru besar di Ta’limul Islam High School di Qadian, Punjab, India, dan beliau telah menghabiskan seluruh hidupnya untuk berkhidmat kepada pertubuhan Ahmadiyya Muslim Community yang mendukung ajaran sesat Qadiani / Ahmadiyyah. Karya beliau iaitu ‘The Holy Quran : Arabic Text and English Translation’ boleh diakses di laman www.alislam.org (laman web rasmi ajaran sesat Qadiani / Ahmadiyyah).

7. Mengenai saranan mesej di atas supaya umat Islam tidak membeli atau memuat-turun (install / download) aplikasi tersebut, maka saya setuju dan menyokong sepenuhnya saranan berkenaan. Samada aplikasi ‘The Holy Quran in Arabic Text and English Translation’ ataupun ‘The Holy Quran Arabic / English’, maka kita TIDAK PERLU membeli atau memuat-turun kedua-dua aplikasi tersebut kerana ia jelas dibangunkan oleh pertubuhan Ahmadiyya Muslim Community yang mendukung ajaran sesat Qadiani / Ahmadiyyah. Inilah yang paling penting dan utama sekali, iaitu kita TIDAK PERLU membeli atau memuat-turun sebarang aplikasi yang dibangunkan oleh pertubuhan Ahmadiyya Muslim Community dan pertubuhan-pertubuhan sesat yang lain.

8. Jika ingin membeli atau memuat-turun aplikasi al-Quran, tafsir, terjemahan al-Quran, hadis atau apa sahaja aplikasi yang berkaitan dengan Islam, maka perlu semak dan teliti terlebih dahulu semua maklumat yang berkaitan dengan aplikasi tersebut termasuklah ‘developer’nya sebelum membeli atau memuat-turun aplikasi tersebut. Jika ragu-ragu atau tidak yakin dengan sesuatu aplikasi yang dipamerkan, maka ia boleh diabaikan. Jika sudah membeli atau memuat-turun sesuatu aplikasi, kemudian didapati bahawa aplikasi tersebut jelas bertentangan dengan Islam dan syari’at Islam serta bercanggah dengan al-Quran, as-Sunnah dan pegangan Ahli Sunnah Wal Jama’ah, maka boleh buang atau ‘uninstall’ aplikasi tersebut. Jika keadaan memerlukan untuk merujuk al-Quran dan terjemahannya melalui device, maka sebaik-baiknya rujuklah laman web al-Quran atau perisian al-Quran yang dibangunkan oleh pihak yang berautoriti dan berkelayakan. Contohnya seperti laman web Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) ada menyediakan terjemahan al-Quran, dan ia boleh diakses melalui URL : http://www.islam.gov.my/e-jakim/e-quran/terjemahan-al-quran. Namun yang paling terbaik ialah dengan merujuk terus mushaf al-Quran dan terjemahan al-Quran yang mendapat kelulusan daripada Bahagian Kawalan Penerbitan dan Teks al-Quran, Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan JAKIM.

9. Mengenai gesaan mesej di atas supaya maklumatnya dikongsi dan disebarkan, maka terpulanglah ke atas kehendak masing-masing. Ini kerana ia bukanlah sesuatu perkara yang diwajibkan ke atas setiap individu muslim. Jika anda merasakan bahawa mesej tersebut benar, penting dan wajar disebarkan supaya lebih ramai lagi umat Islam dapat mengetahui perkara ini, maka sebarkanlah. Tetapi jika anda ragu-ragu dengan kebenaran mesej tersebut atau merasakan bahawa mesej tersebut tidak benar atau hanya bertaraf khabar angin yang tidak mempunyai bukti kebenarannya, maka tidak perlulah sebarkan. Namun demikian dalam menghadapi isu ini, saya secara peribadi mengambil sikap berhati-hati dan tidak menyebarkan mesej di atas sehinggalah jawapan, penjelasan, maklumat dan kenyataan rasmi dikeluarkan oleh pihak berkuasa yang mempunyai autoriti dan kelayakan seperti Majlis Fatwa Kebangsaan, JAKIM dan Jawatankuasa Fatwa Negeri-negeri. Walau bagaimanapun, paling penting dan utama sekali ialah TIDAK PERLU membeli dan memuat-turun sebarang aplikasi yang dibangunkan oleh pertubuhan Ahmadiyya Muslim Community dan pertubuhan-pertubuhan sesat yang lain termasuklah individu yang telah menyeleweng daripada ajaran Islam yang sebenar.

10. Oleh kerana isu ini melibatkan kepentingan umat Islam di seluruh negara dan ia telah tersebar di kalangan umat Islam di Malaysia bahkan di seluruh dunia, maka sepatutnya isu ini diserahkan kepada pihak berkuasa iaitu pemerintah, pentadbir atau penguasa yang mempunyai autoriti seperti Majlis Fatwa Kebangsaan, JAKIM dan para mufti negeri-negeri serta para ulama yang mu’tabar lagi mujtahid, yang benar (haq) dan diiktiraf keilmuannya. Mereka inilah sebenarnya yang lebih layak untuk menjawab dan memberikan jawapan serta penerangan yang jelas kepada seluruh umat Islam di Malaysia mengenai isu yang diutarakan di atas. Mereka lebih layak untuk meneliti, menyemak, menyiasat dan mengkaji perkara di atas serta mengeluarkan hujjah, ijtihad dan fatwa bagi menjelaskan dan menerangkannya kepada umat Islam.

11. Manakala saya ini hanyalah seorang hamba yang faqir lagi dha’if di sisi Allah SWT dan tidak layak untuk menjawab dan memberikan jawapan serta penerangan yang jelas mengenai isu yang diutarakan di atas. Adapun segala tulisan saya mengenai isu ini hanyalah sekadar pendapat dan pandangan kecil saya sebagai seorang hamba yang faqir lagi dha’if di sisi Allah SWT dan tidak mempunyai kelayakan untuk berhujjah dan menjelaskan kepada ummah. Ia hanyalah sekadar pendapat dan pandangan kecil saya bagi memenuhi kehendak dan hajat individu yang bertanyakan soalan kepada saya. Adalah diharapkan supaya pendapat dan pandangan kecil saya ini tidak dijadikan hujjah dan sandaran, bahkan boleh diabaikan, dipadam dan dibuang terus. Sebaik-baiknya, isu ini dirujuk terus kepada pihak yang berautoriti, para mufti negeri-negeri ataupun para ulama yang mu’tabar lagi mujtahid, yang benar (haq) dan diiktiraf keilmuannya untuk menjawab dan memberikan jawapan serta penerangan yang lebih jelas dan tepat.

والله سبحانه وتعالى أعلم وهو يهدي من يشاء إلى سبيل الهدى والرشاد.

AL-FAQIR ILALLAH :

AL-FAQIR SYAMSUL HADI BIN HAJI ABDUL SUKOR.
Guru,
Sekolah Menengah Agama al-Taqwa (SMAT),
Bukit Beruntung, Hulu Selangor.
(Khamis, 16 Rejab 1438 Hijriyyah / 13 April 2017).
www.syamsulhadisukor.blogspot.com

NOTA HUJUNG :

1. SEJARAH PERKEMBANGAN AJARAN QADIANI / AHMADIYYAH DI MALAYSIA.

Kedatangan ajaran Qadiani / Ahmadiyyah ke Malaysia dipercayai pada awal tahun 1930-an. Penyebarnya yang pertama ialah dipercayai Maulana Husin Iyaz yang datang ke Singapura pada tahun 1935 dan pejabatnya ialah di No. 116, Unan Road, Singapura. Melalui pengkalannya di situ, beliau menyebarkan ajaran ini. Selepas Maulana Husin Iyaz, datang pula Maulana Mohd. Sadiq bin Barakatullah pada 22 Disember 1949 sebagai wakil penyebarnya di sini. Kemasukan ajaran Qadiani / Ahmadiyyah ke Malaysia ini telah ditentang hebat oleh para ulama.

Di Jeram, Selangor, ketua Qadiani / Ahmadiyyah di situ iaitu Syed Abdul Rahman bin Syed Alwi. Beliau telah memohon kepada Sultan Selangor untuk mengadakan penyelidikan ke atas ajaran ini pada bulan Mei 1951. Pada 23 Julai 1951, suatu majlis perbahasan telah diadakan di hadapan Sultan Selangor di Istana Selangor, Kuala Lumpur. Pihak Qadiani / Ahmadiyyah diwakili oleh Mohd. Sadiq bin Barakatullah dan Mohd. Zuhdi Fadhli. Manakala pihak ulama Islam pula diwakili oleh Syeikh Mahmud Zuhdi dan ulama-ulama di Pejabat Agama Islam Negeri Selangor. Keputusan perbincangan ialah bahawa golongan Qadiani / Ahmadiyyah tidak diiktiraf sebagai golongan Islam, malah terkeluar daripada Islam.

Berkenaan dengan kedudukan Qadiani / Ahmadiyyah di Malaysia sekarang, sejak berlakunya dialog di antara ketua Qadiani / Ahmadiyyah dengan ulama-ulama tempatan yang berlangsung di hadapan Sultan Selangor pada tahun 1951 itu, ajaran ini menjadi semakin lemah dan tidak mempunyai pemimpin yang benar-benar dikenali. Lebih-lebih lagi kerana ajaran ini tidak diiktiraf sebagai ajaran Islam yang sebenar. Dengan demikian, ia tidak dapat berkembang ke seluruh negara. Bahkan cuma hidup di tempat yang ia telah lahir sebelum itu.

Di Selangor, antara tempat-tempat yang terdapat penganut-penganut ajaran ini ialah di Jeram, Sungai Tua, Sungai Buloh dan Kampung Nakhoda. Di Jeram, ada kira-kira 40 orang pengikut (lelaki dan perempuan) di sini. Terdapat tanah perkuburan mereka sendiri yang diberikan oleh Pegawai Daerah Inggeris pada tahun 1954. Luasnya kira-kira dua ekar. Di Sungai Tua, terdapat kira-kira 20 orang pengikut (lelaki dan perempuan) di sini. Pengikut Qadiani / Ahmadiyyah dari Melaka datang berkumpul di sini. Di Sungai Buloh pula, terdapat sebuah surau Qadiani / Ahmadiyyah yang berharga kira-kira RM1,600. Surau ini dibina daripada derma pengikut-pengikut ajaran itu. Manakala di Kampung Nakhoda pula, pengikutnya di sini masih kuat berpegang dengan ajaran ini. Mereka terdiri daripada kira-kira lima buah keluarga. Terdapat sebuah ‘masjid’ Qadiani / Ahmadiyyah yang digunakan untuk mereka sahaja.

Di negeri-negeri lain di Malaysia selain daripada Selangor, terdapat juga pengikut ajaran Qadiani / Ahmadiyyah ini. Tetapi mereka itu tidak diketahui siapakah orangnya. Mungkin kerana jumlahnya terlalu kecil. Setiap pengikut ajaran ini dikehendaki mengeluarkan 1/16 daripada pendapatan harian mereka kepada tabung kumpulan ini.

Buat masa ini, penganut Qadiani / Ahmadiyyah semakin berkurangan kerana di kalangan mereka ramai yang telah bertaubat dan anggota baru hampir tiada langsung. Gerakan mengembangkan ajaran ini telah lama berhenti dan orang ramai umumnya mengetahui ajaran ini adalah bertentangan dengan Islam. Apa yang jelas kelihatan ialah pengikut ajaran ini terpisah daripada masyarakat Islam. Anak-anak mereka tidak dapat berkahwin dengan anak orang Islam dan mereka terpaksa menerima keadaan ini. Kini hanya satu pusat Qadiani / Ahmadiyyah yang masih bergerak aktif iaitu di No. 11A, Jalan Nakhoda Kanan, Kampung Nakhoda, Batu Caves, Selangor (berdekatan dengan Open Tahfiz Centre). Pusat Qadiani / Ahmadiyyah ini mengadakan aktiviti seperti solat Jumaat, perhimpunan antarabangsa dan penerbitan risalah.

Ajaran Qadiani / Ahmadiyyah ialah ajaran yang sesat lagi menyesatkan. Dr. Muhammad Iqbal iaitu seorang ilmuwan Islam yang juga berasal dari India pernah mengingatkan bahawa (maksudnya) :

“Sesungguhnya Qadianisme (Ahmadiyyah) ialah gerakan yang menentang Nabi Muhammad SAW, dan pakatan yang menentang Islam, dan agama yang terpisah daripada agama Islam. Bahawa Qadianisme ialah umat yang berdiri sendiri dan bukan sebahagian daripada umat Islam. Sesungguhnya Qadianisme (Ahmadiyyah) akan menarik umat Nabi Muhammad SAW dan mendirikan umat baru di India. Sesungguhnya Qadianisme lebih berbahaya kepada kehidupan masyarakat Islam di India jika dibandingkan dengan aliran Spenoza dengan falsafah Yahudi yang memberontak dengan peraturan-peraturan Yahudi.”

2. FATWA PARA ULAMA : LIGA MUSLIM SEDUNIA, 14-18 RABI'UL AWWAL 1394 HIJRIYYAH BERSAMAAN APRIL 1974, MEKAH, ARAB SAUDI.

Qadianiyyah atau Ahmadiyyah merupakan suatu gerakan subversif yang menentang Islam dan muslim sedunia. Ia dengan penuh penipuan, mendakwa bahawa sebagai salah satu gerakan Islam. Bersembunyi di sebalik topeng Islam demi mencapai tujuan tertentu serta merancang untuk menghancurkan Islam daripada asasnya lagi.

Qadiani hendaklah diisytiharkan sebagai bukan muslim dan terkeluar daripada agama Islam. Mereka hendaklah turut ditegah daripada memasuki tanah suci Mekah dan Madinah.

Tidak boleh berurusan dengan pengikut-pengikut fahaman ini. Mereka hendaklah diboikot dari segi sosial, ekonomi dan budaya. Mereka tidak boleh bernikah dan dinikahi, serta mayat mereka dilarang daripada ditanam di tanah perkuburan Islam. Mereka hendaklah dilayan sebagai orang bukan Islam.

3. MAJLIS RAJA-RAJA (NEGERI-NEGERI YANG MENGAMBIL BAHAGIAN SAHAJA) DALAM MESYUARATNYA YANG KE-101 YANG TELAH DIADAKAN PADA 18 JUN 1975 TELAH MEMPERSETUJUI PENDAPAT JAWATANKUASA FATWA MAJLIS KEBANGSAAN BAGI HAL EHWAL UGAMA ISLAM MALAYSIA MENGENAI PUAK QADIANIYYAH / AHMADIYYAH, SELEPAS PINDAAN SEPERTI BERIKUT :

i) “Puak Qadianiyyah / Ahmadiyyah adalah puak yang terkeluar daripada Islam dan tidak boleh menikmati hak-hak sebagai seorang Islam termasuk pengkebumian dalam tanah perkuburan Islam.”

ii) “Majlis (negeri-negeri yang mengambil bahagian sahaja) bersetuju satu kertas putih mengenai penyelewengan puak Qadianiyyah / Ahmadiyyah hendaklah dikeluarkan oleh Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia.”

iii) “Majlis (negeri-negeri yang mengambil bahagian sahaja) bersetuju iaitu Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia hendaklah mengambil tindakan berutus dengan Kerajaan-kerajaan Negeri (yang mengambil bahagian sahaja) supaya pendapat-pendapat terkandung dalam keputusan-keputusan (i) dan (ii) di atas diisytiharkan oleh Kerajaan-kerajaan Negeri itu.”

Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam, Malaysia.

4. FATWA MUFTI KERAJAAN BRUNEI.

Fatwa Mufti Kerajaan Brunei telah memutuskan bahawa orang-orang yang berpegang dengan ajaran agama Qadiani (Ahmadiyyah) ini dihukumkan kufur dan murtad keluar dari ugama Islam dan tidak termasuk dalam bilangan orang Zimmi sebagaimana yang difatwakan oleh Yang Dimuliakan Pehin Datu Seri Maharaja Dato’ Seri Utama Dr. Haji Ismail bin Omar Abdul Aziz, Mufti Kerajaan Brunei.

Bilangan : (30) dalam MKB 3/1967 bertarikh 19 Jamadil Akhir 1390 bersamaan 22 Ogos 1970.

5. FATWA NEGERI SELANGOR.

Fatwa Tentang Ajaran Qadiani / Ahmadiyyah.
Enakmen Pentadbiran Perundangan Islam Negeri Selangor 1989.

A. Ajaran Qadiani adalah satu ajaran yang menyalahi dari ajaran Islam yang sebenarnya. Pengikut-pengikut ajaran Qadiani ini telah dihukumkan kafir oleh Ulama-ulama Islam serata dunia.

B. Jabatan Agama Islam Selangor telah menghukumkan kafir kepada pengikut-pengikut Qadiani yang berpusat di Batu 20 Jeram, Kuala Selangor pada 15 Disember 1953 setelah mereka dibicarakan di Istana Kuala Lumpur di hadapan Sultan Selangor serta beberapa orang Alim Ulamak di Negeri Selangor ini. Setiap orang yang telah menjadi penganut ajaran Qadiani adalah telah murtad (keluar dari Agama Islam). Maka wajiblah dituntut mereka bertaubat kembali kepada Islam dengan mengikrar dua kalimah syahadat.

C. Antara ciri-ciri ajaran itu ialah :
(a) Mirza Ghulam Ahmad mendakwa : (i) sebagai Nabi yang menerima wahyu. (ii) Imam Mahdi. (iii) Isa al-Masih. (iv) mempunyai mukjizat. (v) para Nabi menyaksikan dirinya. (vi) malaikat sebagai pancaindera Tuhan. (vii) Nabi Isa a.s. telah mati dan kuburnya di Srinagar.
(b) Ibadah haji di Qadian, India.
(c) Menafikan jihad.
(d) Mengubah ayat-ayat al-Quran.

D. Orang-orang Islam adalah dilarang menjual, mengedar, membeli, memiliki atau memberi ceramah tentang isi kandungan buku-buku berikut :
(a) “Invitation To Ahmadiyah” yang dikarang oleh Hazrat Hj. Mirza Bashir-ud-din Ahmad (Khalifatul Masih II).
(b) “Penawar Racun Fitnah Terhadap Ahmadiyyah” yang ditulis oleh Pengurus Besar Jema’at Ahmadiah.
(c) “Alam Sebagai Saksi” yang dikarang oleh Mohamad Zain bin Hassan.
(d) “The Holy Quran With English Translation And Commentary” (Vol. II, Part I) yang dikarang oleh M. Mas’ud Ahmad.

Rujukan Pewartaan : Sel. P.U. 15.
Tarikh Pewartaan : 24 September 1998.

PINDAAN FATWA TENTANG AJARAN AHMADIAH / QADIANI :

Memandangkan mana-mana orang yang telah menganuti ajaran Qadiani telah menjadi murtad (keluar dari Agama Islam), akibatnya dari segi hukum syara’ dan Undang-undang Sivil ialah :

(a) Perkahwinan orang tersebut boleh dibubarkan dengan pengesahan Mahkamah Syariah mengikut seksyen 46 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Selangor 1984.
(b) Orang tersebut tidak boleh menjadi wali dalam akad nikah anak perempuannya.
(c) Orang tersebut tidak boleh mewarisi harta peninggalan kerabat kerabat Muslimnya; dan
(d) Orang tersebut tidak berhak untuk mendapatkan apa-apa keistimewaan yang diperuntukkan kepada orang Melayu di bawah Perlembangaan Persekutuan dan Undang-undang Negeri dan sekiranya hak-hak tersebut telah diberi, dinikmati atau diperolehi oleh orang tersebut, ia hendaklah terhenti dari berkuatkuasa dan bolehlah dilucut, ditarik balik dan dibatalkan, mengikut mana berkenaan oleh pihak berkuasa yang berkaitan.

Tarikh Pewartaan : 17 Ogos 2001.

6. AKTA PENTADBIRAN UNDANG-UNDANG ISLAM (WILAYAH-WILAYAH PERSEKUTUAN) 1993 :

“Bahawa ajaran Ahmadiyyah atau Qadiani yang dibawa oleh Mirza Ghulam Ahmad adalah bukan daripada ajaran Islam dan orang-orang yang mengikut ajaran ini bukanlah orang Islam.”

7. ENAKMEN PENTADBIRAN AGAMA ISLAM (NEGERI SEMBILAN) 2003. PEMBERITAHUAN FATWA PENYELEWENGAN AJARAN QADIANI.

PADA menjalankan kuasa yang diberikan oleh seksyen 49 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Sembilan) 2003 [Enakmen No. 10/2003], Jawatankuasa Fatwa dengan perkenan Yang di-Pertuan Besar, mengeluarkan Fatwa berikut :

i) Ajaran Qadiani adalah ajaran sesat. Adalah dihukumkan haram bagi orang-orang Islam melibatkan diri dengan ajaran tersebut. Mana-mana orang Islam yang terlibat boleh menjadi murtad dan hendaklah segera meninggalkan ajaran tersebut dan bertaubat.

ii) Bahawa pengharaman ini meliputi apa-apa variasi, versi cetak, bentuk atau cabang mana-mana ajaran tersebut di perenggan (i) di atas, dan termasuk apa-apa pegangan ideologi, falsafah atau sistem amalan yang tidak diakui dan bertentangan dengan syariat Islam dan pegangan oleh Ahli Sunnah Wal Jamaah; apa-apa bahan publisiti termasuklah apa-apa terbitan sama ada yang dicetak, ditulis, ditaip atau dikeluarkan dengan apa-apa cara lain atau apa-apa bentuk untuk dibaca, dilihat atau didengar yang berkaitan dengan ajaran di perenggan (i) di atas.

iii) Orang-orang Islam adalah dilarang :

Mengamalkan ajaran, pegangan dan fahaman ajaran Qadiani, menjadi ahli, mengetuai, memimpin, memberi ceramah, mengadakan kelas pendidikan dan pembelajaran, aktiviti ekonomi, sosial, program persembahan kesenian dan kebudayaan atau aktiviti-aktiviti lain yang bertujuan untuk menghidupkan, menyebarkan dan mengembangkan ajaran ini; atau memiliki, menyimpan, mencetak, menjual termasuk mengedarkan filem, rakaman audio, risalah, buku-buku, majalah atau apa-apa terbitan, atau apa-apa dokumen, menggunakan sebarang bentuk lambang, rajah atau tanda-tanda yang boleh mengaitkan ajaran Qadiani dengan ajaran Islam.

Dibuat 17 Julai 2013.
[JMKNNS.BPK.100-32/1:PUNS 100/2/4]

DATO’ HJ. MOHD YUSOF BIN HJ. AHMAD.
Mufti Kerajaan Negeri Sembilan.

8. FATWA NEGERI PERLIS.

Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis yang bersidang pada Selasa 12 Oktober 2010 mengenai ajaran Qadiani memutuskan :

Ajaran Qadiani adalah satu ajaran yang menyalahi ajaran Islam yang sebenar. Para penganutnya dikira sesat dan boleh terkeluar dari Islam. Oleh itu, umat Islam adalah dilarang mengamal ajaran, pegangan dan fahaman ajaran Qadiani, menjadi ahli, mengetuai, memimpin, memberi ceramah, mengadakan kelas pendidikan dan pembelajaran, mengadakan apa-apa aktiviti ekonomi, sosial, program persembahan kesenian dan kebudayaan serta aktiviti-aktiviti lain yang bertujuan untuk menghidup, menyebar dan mengembangkan ajaran ini.

Orang-orang Islam adalah dilarang memiliki, menyimpan, mencetak, menjual, termasuk mengedarkan filem, rakaman audio, pamplet, buku-buku, majalah atau apa-apa terbitan, risalah dan apa-apa dokumen, menggunakan sebarang bentuk lambang, rajah atau tanda-tanda yang boleh mengaitkan ajaran Qadiani dengan ajaran Islam yang sebenar.

*Keputusan Jawatankuasa ini telah diangkat kepada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dan telah diperakukan dalam mesyuarat yang bersidang pada 7 Disember 2010.

Sumber : http://mufti.perlis.gov.my/informasi/-koleksi-fatwa/fatwa-akidah/103-fatwa-tentang-ajaran-qadiani.

9. FATWA NEGERI SABAH.

Muzakarah Jawatankuasa Majlis Fatwa Negeri Sabah, bil 3/2006 telah bersidang pada 13-14 Disember 2006 Miladiah / 22-23 Zulkaedah 1427 Hijriah, bertempat di Bilik Mesyuarat, Pejabat Mufti Negeri Sabah, Kota Kinabalu, Sabah bagi membincangkan mengenai perkara AJARAN QADIANI dan telah memutuskan untuk diwartakan di Negeri Sabah bahawa :

A) Ajaran Qadiani adalah ajaran sesat dan boleh membawa kepada murtad. Mana-mana orang Islam yang terlibat dengannya boleh menjadi murtad. Oleh itu, umat Islam adalah dilarang dan haram melibatkan diri dengannya dan siapa yang telah terlibat hendaklah segera keluar dan bertaubat.

B) Bahawa pengharaman ini meliputi :
i. Apa-apa variasi, versi, bentuk atau cabang mana-mana ajaran tersebut di (A) di atas, dan termasuk apa-apa pegangan ideologi, falsafah atau sistem amalan yang tidak diakui dan bertentangan dengan syariat Islam dan pegangan oleh Ahli Sunnah Wal Jamaah.
ii. Apa-apa bahan publisiti termasuklah apa-apa terbitan sama ada yang dicetak, bertulis, ditaip atau dikeluarkan dengan apa-apa cara lain dan apa-apa bentuk untuk dibaca, dilihat atau didengar yang berkaitan dengan ajaran di (A) di atas.

Oleh itu, umat Islam adalah dilarang mengamal ajaran, pegangan dan fahaman ajaran Qadiani, menjadi ahli, mengetuai, memimpin, memberi ceramah, mengadakan kelas pendidikan dan pembelajaran, mengadakan apa-apa aktiviti ekonomi, sosial, program persembahan kesenian dan kebudayaan dan aktiviti-aktiviti lain yang bertujuan untuk menghidup, menyebar dan mengembangkan ajaran ini.

Orang-orang Islam adalah juga dilarang memiliki, menyimpan, mencetak, menjual termasuk mengedarkan filem, rakaman audio, pamphlet, buku-buku, majalah atau apa-apa terbitan, risalah dan apa-apa dokumen, menggunakan sebarang bentuk lambang, rajah atau tanda-tanda yang boleh mengaitkan ajaran Qadiani dengan ajaran Islam.

Status Pewartaan : Diwartakan.
Tarikh Diwartakan : 13 September 2007.
Sumber : http://www.e-fatwa.gov.my/fatwa-negeri/ajaran-qadiani.

10. FATWA NEGERI MELAKA.

ENAKMEN PENTADBIRAN HUKUM SYARAK (NEGERI MELAKA) 1991.
FATWA DI BAWAH SEKSYEN 30.

FATWA yang dinyatakan dalam Jadual telah dibuat oleh Mufti bagi Negeri Melaka menurut subseksyen 30 (1) Enakmen Pentadbiran Hukum Syarak (Negeri Melaka) 1991 [Enakmen No. 5 tahun 1991] selepas dipertimbangkan dan diluluskan dengan sebulat suara oleh Jawatankuasa Syariah menurut subseksyen 33 (6) Enakmen Pentadbiran Hukum Syarak (Negeri Melaka) 1991, dan disiarkan menurut subseksyen 30 (1) Enakmen itu.

AJARAN QADIANI (QADIANIAH / AHMADIAH).

1. Puak Qadianiah / Ahmadiah adalah puak yang terkeluar daripada Islam dan tidak boleh menikmati hak-hak sebagai seorang Islam termasuk pengkebumian dalam tanah perkuburan Islam.

2. Oleh yang demikian :
(a) mana-mana orang atau kumpulan orang yang berpegang pada ajaran dan fahaman Qadianiah / Ahmadiah ini adalah murtad; dan
(b) orang Islam yang telah mengamalkan ajaran Qadianiah / Ahmadiah di mana-mana jua berada hendaklah segera bertaubat serta memohon keampunan kepada Allah Subhanahu Wa Ta’ala.

Bertarikh 2 Julai 2001.
[PMM/0007 Jld. 3(27); PUN(M)351/27].

DATUK HJ. RASHID REDZA BIN HJ. MD. SALEH.
Mufti Negeri Melaka.

Rujukan Pewartaan : M.P.U. 6.
Tarikh Pewartaan : 12 Julai 2001.

11. ISTILAH DAN GELARAN ‘MAULVI’ ATAU ‘MAWLAWI’.

Mawlawi atau disebut dan dieja juga sebagai Maulvi, Moulvi dan Mawlvi ialah istilah yang berasal daripada bahasa Parsi iaitu مولوی. Istilah ini merupakan gelaran kehormat dalam masyarakat Islam, tetapi ia bukanlah suatu gelaran yang terlalu eksklusif. Gelaran Mawlawi ini hanya diberikan oleh masyarakat umum kepada ulama. Gelaran ini mempunyai persamaan dengan gelaran Maulana, Mullah atau Syeikh. Mawlawi secara umumnya membawa maksud ‘pendidik agama’ atau ‘guru’. Selalunya, Maulvi perlulah menyelesaikan segala pengajian formalnya di Madrasah atau Darul Ulum.

Dalam budaya yang lain, gelaran Mawlawi ialah suatu gelaran yang lebih rendah darjatnya daripada gelaran ‘Maulana’ atau ‘Syeikh’. Ini mungkin kerana tahap pendidikan pemegang gelaran Mawlawi ini tidaklah begitu setaraf dengan tahap pendidikan yang dicapai oleh pemegang gelaran ‘Maulana’ atau ‘Syeikh’. Gelaran Mawlawi juga pada kebiasaannya digunakan secara meluas di Parsi serta kebanyakan negara di dunia Islam lain contohnya Iran, Afghanistan, Asia Tengah (seperti Pakistan), Asia Selatan contohnya India (dengan menggunakan sebutan Maulvi), Asia Tenggara (contohnya Malaysia dan Indonesia), dan Afrika Timur (seperti Habsyah dan Sudan). Istilah Mawlawi / Maulvi berasal daripada perkataan Parsi, di mana istilah Parsi ini telah diadaptasi daripada istilah bahasa Arab yang berbunyi ‘Mawla’ yang bermaksud ‘Tuan’.

Mawlawi di Turki dikatakan mempunyai persamaan atau persaudaraan dengan ahli Sufi dari Konya (Qonya), Anatolia atau Istanbul. Contohnya penyair sufi, Jalal ad-Din Muhammad Rumi (meninggal dunia pada 1273), di mana beliau seorang yang agak terkenal dengan gelaran ‘Mawlana’ (yang bermaksud ‘Tuan Kami’).

Di Bangladesh, dalam sistem pengajian di Madrasah ‘Aliyyah, Maulvi ialah sebuah gelaran yang diberikan kepada mahasiswa yang berjaya atau lulus dalam Ijazah Sarjana Muda dalam sesuatu kursus. Contohnya gelaran Maulvi untuk lepasan asas, Maulvi Alim (untuk sederhana) dan Maulvi Fazil (untuk tertinggi).

Antara contoh individu terkenal yang menggunakan gelaran Maulvi ini termasuklah Maulvi Balkhi (seorang penyair Parsi yang terkenal), Moulvi Ibrahim (bapa kepada bekas Presiden Bangladesh, Iajuddin Ahmed) dan Maulvi Mohammad Yunus Khalis (seorang pencetus revolusi politik di Afghanistan).

.والله أعلم بالصواب

2 ulasan:

  1. http://syamsulhadisukor.blogspot.my/2017/04/soalan-mengenai-sebaran-mesej-berkaitan.html?m=1

    BalasPadam
  2. Beruntunglah mereka yang pelajari Al-Quran, sesungguhnya Al-Quran akan menjadi syafaat dan teman mereka di akhirat nanti.

    BalasPadam