Rabu, 26 April 2017

SAIZ DAN UKURAN TUBUH BADAN PENGHUNI NERAKA

SOALAN :

Betul ke kat akhirat nanti
Badan jadi besar
Supaya senang diseksa
Ustaz, mohon pencerahan

JAWAPAN :

Berikut ialah hadis-hadis sahih yang menjelaskan tentang saiz dan ukuran tubuh badan manusia yang menjadi penghuni neraka. Semoga Allah SWT melindungi dan menyelamatkan diri kita semua daripada seksaan api neraka.

.اللهم إنا نسألك رضاك والجنة، ونعوذ بك من سخطك والنار

SAIZ DAN UKURAN TUBUH BADAN PENGHUNI NERAKA.

Daripada Abu Hurairah r.a, Nabi SAW bersabda :

.ما بين منكبي الكافر في النار مسيرة ثلاثة أيام للراكب المسرع

Maksudnya : “Jarak di antara dua hujung bahu orang kafir di dalam neraka (ialah) SEJAUH PERJALANAN TIGA HARI yang ditempuhi (oleh) penunggang kuda yang pantas lariannya.”
- (Hadis SAHIH riwayat Imam al-Bukhari, no. 6551, dan Imam Muslim, no. 2852).

Imam an-Nawawi rahimahullah menyatakan bahawa :

هَذَا كُلُّهُ لِكَوْنِهِ أَبْلَغَ فِي إِيلَامِهِ وَكُلُّ هَذَا مَقْدُورٌ لِلَّهِ تَعَالَى يَجِبُ الْإِيمَانِ بِهِ لِإِخْبَارِ الصَّادِقِ بِهِ

Maksudnya : "Ini semua bertujuan supaya menjadikannya lebih maksimum dalam menyeksanya (orang kafir di dalam neraka). Dan ini semua di bawah kekuasaan Allah Ta’ala yang wajib kita beriman dengannya, (dan sebagai peringatan bahawa adanya) berita daripada as-Sodiq (Nabi Muhammad SAW) mengenai perkara ini."
- (Rujukan : Syarah Sahih Muslim, 17:186).

Daripada Zaid bin Arqam r.a (bahawa) :

.إن الرجل من أهل النار ليعظم للنار، حتى يكون الضرس من أضراسه كأحد

Maksudnya : “Sesungguhnya seseorang (manusia) daripada penghuni neraka akan MEMBESAR (ketika masuk) ke dalam neraka, sehingga gigi gerahamnya (penghuni neraka) SEBESAR BUKIT UHUD.”
- [Riwayat Imam Ahmad, 32:13. Syu'aib al-Arnaut menyatakan bahawa : "Sanadnya mausul (bersambung) dan statusnya seperti sabda (hadis) Nabi SAW"].

Daripada Abu Hurairah r.a, Nabi SAW bersabda :

.ضِرْسُ الْكَافِرِ، أَوْ نَابُ الْكَافِرِ، مِثْلُ أُحُدٍ وَغِلَظُ جِلْدِهِ مَسِيرَةُ ثَلَاثٍ

Maksudnya : “Gigi geraham atau gigi taring orang kafir (penghuni neraka) seperti BUKIT UHUD, manakala tebal kulitnya pula SEJAUH PERJALANAN TIGA HARI.”
- (Hadis SAHIH riwayat Imam Muslim, no. 2851).

Daripada Abu Hurairah r.a, Nabi SAW bersabda :

ضرس الكافر يوم القيامة مثل أحد، وعرض جلده سبعون ذراعاً، وعضده مثل البيضاء، وفخذه مثل ورقان، ومقعده من النار ما بيني وبين الربذة

Maksudnya : “Gigi geraham orang kafir pada hari Qiamat (ialah) seperti bukit Uhud, lebar telinganya (ialah) tujuh puluh hasta, lengannya seperti bukit Baidha, pahanya seperti bukit Waraqan, dan tempat duduknya di neraka (lebarnya seperti) antara (jarak) aku (Rasulullah SAW di Madinah) dengan ar-Rabazah (sebuah lembah di luar Madinah yang jauh daripada orang ramai).”
- (Hadis SAHIH riwayat Imam al-Hakim dan Imam Ahmad).

Namun demikian, saiz dan ukuran tubuh badan seperti yang dinyatakan di atas tidak berlaku kepada semua penghuni neraka. Ini kerana ada juga manusia yang Allah SWT masukkan mereka ke dalam neraka dalam bentuk tubuh badan yang sangat kecil.

Imam al-Munawi menukilkan keterangan daripada Imam al-Qurtubi bahawa :

وهذا إنما يكون في حق البعض بدليل حديث إن المتكبرين يحشرون يوم القيامة أمثال الذر في صورة الرجال فيساقون إلى سجن في جهنم يقال له بولس

Maksudnya : “Ini hanya berlaku untuk sebahagian ahli neraka sahaja dengan dalil hadis yang menyatakan bahawa orang-orang yang sombong pada hari Qiamat nanti akan dikumpulkan dalam rupa bentuk manusia yang berukuran sama seperti SEBIJI ZARAH (HABUK). Mereka akan diheret masuk ke dalam penjara di dasar neraka Jahannam yang dipanggil sebagai Bulis.”
- (Rujukan : Faidhul Qadir Syarah al-Jami’ as-Soghir, karya Imam al-Munawi, 4:254).

Imam al-Qurtubi juga menyatakan bahawa :

.ولا شك أن الكفار متفاوتون في العقاب كما علم من الكتاب والسنة

Maksudnya : “Tidak ragu-ragu lagi bahawa hukuman (di dalam neraka) untuk orang kafir itu bertingkat-tingkat sepertimana yang diketahui daripada Kitab (al-Quran) dan as-Sunnah.”
- (Rujukan : Faidhul Qadir Syarah al-Jami’ as-Soghir, karya Imam al-Munawi, 4:254).

.واللَّه أعلم بالصواب

AL-FAQIR ILALLAH :

AL-FAQIR SYAMSUL HADI BIN HAJI ABDUL SUKOR.
Guru,
Sekolah Menengah Agama al-Taqwa (SMAT),
Bukit Beruntung, Hulu Selangor.
(Rabu, 8 Rejab 1438 Hijriyyah / 5 April 2017).

NOTA HUJUNG :

1. Nama sebenar Imam al-Munawi (al-Imam al-Hafiz Zainuddin Muhammad Abd al-Rauf al-Munawi) ialah Muhammad Abd al-Rauf bin Taj al-Arifin bin Ali bin Zainal Abidin bin Yahya bin Muhammad bin Muhammad bin Muhammad bin Ahmad bin Makhluf bin Abdus Salam al-Hadadi al-Munawi al-Qahiri al-Misri asy-Syafi'i. Beliau dilahirkan di kota Kaherah, Mesir pada tahun 952 Hijriyyah (1545 Masihi). Beliau berasal daripada keluarga yang dikenali sebagai orang soleh dan ulama.

Beliau telah mengarang kitab al-Jami' al-Azhar Fi Hadis al-Nabi al-Anwar, Faidhul Qadir Syarah al-Jami’ as-Soghir, at-Taisir Syarah al-Jami’ as-Soghir, al-Majmu’ al-Faiq Min Hadis Khair al-Khalaiq, al-Ittihafat as-Saniyyah Bi al-Ahadis al-Qudsiyyah, al-Futuhat as-Subhaniyyah Syarah ad-Durar as-Saniyyah, Takhrij Ahadis Tafsir al-Baidhawi, ad-Durar al-Jauhariyyah Syarah al-Hikam al-Ata’iyyah, dan lain-lain.

Imam al-Munawi meninggal dunia pada hari Khamis, 23 Safar tahun 1031 Hijriyyah (1622 Masihi). Jenazah beliau disolatkan di Universiti al-Azhar, Mesir pada hari Jumaat dan dimaqamkan di samping zawiyah (sudut atau bangunan pengajian ilmu dan ibadah) yang beliau dirikan serta berdampingan di antara maqam dua ulama besar iaitu Syeikh Ahmad az-Zahid dan Syeikh Madyan al-Asmuni.

Rujukan :

i) Abu Munyah as-Sakunji at-Tijani, Ittihaful Amajid Bi Nafaisil Fawaid, jilid 2, halaman 58.

ii) Muhammad Amin al-Muhibbi, Khulasoh al-Astar, jilid 2, halaman 193, terbitan Dar Shadir, Beirut, 1990.

iii) Muhammad bin Ali asy-Syaukani, Al-Badru at-Tali’ Bi Mahasin Man Ba’d al-Qarn as-Sabi’, jilid 1, halaman 351, terbitan Dar al-Ma’rifah, Beirut, 1998.

iv) Syeikh Mustafa bin Abdullah Haji Khalifah menyebutkan dhabit (catatan) bahawa :

.والمُناوي : بضم الميم : نسبة إلى منية الخصيب، بلد بمصر

Maksudnya : "Al-Munawi dibaca dengan dhammah (baris depan) huruf Mim dikaitkan dengan nama kota Munyah al-Khasib di Mesir."
- (Syeikh Mustafa bin Abdullah Haji Khalifah, Kasyf az-Zunun An Asam al-Kutub Wa al-Funun, jilid 1, halaman 15, terbitan Dar al-Kutub al-Ilmiyah, Beirut, 1998).

2. SAIZ DAN UKURAN TUBUH BADAN PENGHUNI SYURGA.

Rasulullah SAW bersabda :

.فَكُلُّ مَنْ يَدْخُلُ الْجَنَّةَ عَلَى صُوْرَةِ آدَمَ

Maksudnya : "Semua yang masuk (ke dalam) syurga (ialah sama) seperti (rupa) bentuk (NABI) ADAM."
- (Hadis SAHIH riwayat Imam al-Bukhari, no. 3326).

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَوَّلُ زُمْرَةٍ تَدْخُلُ الْجَنَّةَ مِنْ أُمَّتِي عَلَى صُورَةِ الْقَمَرِ لَيْلَةَ الْبَدْرِ ثُمَّ الَّذِينَ يَلُونَهُمْ عَلَى أَشَدِّ نَجْمٍ فِي السَّمَاءِ إِضَاءَةً ثُمَّ هُمْ بَعْدَ ذَلِكَ مَنَازِلُ لَا يَتَغَوَّطُونَ وَلَا يَبُولُونَ وَلَا يَمْتَخِطُونَ وَلَا يَبْزُقُونَ أَمْشَاطُهُمْ الذَّهَبُ وَمَجَامِرُهُمْ الْأَلُوَّةُ وَرَشْحُهُمْ الْمِسْكُ أَخْلَاقُهُمْ عَلَى خُلُقِ رَجُلٍ وَاحِدٍ عَلَى طُولِ أَبِيهِمْ آدَمَ سِتُّونَ ذِرَاعًا قَالَ ابْنُ أَبِي شَيْبَةَ عَلَى خُلُقِ رَجُلٍ وقَالَ أَبُو كُرَيْبٍ عَلَى خَلْقِ رَجُلٍ وقَالَ ابْنُ أَبِي شَيْبَةَ عَلَى صُورَةِ أَبِيهِمْ

Maksudnya : Daripada Abu Hurairah r.a, dia berkata : "Rasulullah SAW telah bersabda : "Kumpulan pertama umatku yang akan masuk ke dalam syurga ialah orang-orang yang berwajah seperti bulan purnama. Seterusnya ialah orang-orang yang berwajah seperti bintang yang paling terang di langit. Selepas itu ialah orang-orang yang kedudukannya lebih rendah. Mereka (semua penghuni syurga) tidak membuang hajat (tidak buang air besar), tidak buang air kecil, tidak mengeluarkan hingus dan tidak meludah (tidak berkahak). Sikat mereka diperbuat daripada emas, wangian mereka berasal daripada kayu gaharu, peluh mereka berbau minyak kasturi. Rupa bentuk mereka pada penciptaan seorang manusia yang sama seperti tingginya bapa mereka (iaitu Nabi) Adam (dengan ketinggian) ENAM PULUH HASTA." Ibnu Abi Syaibah berkata : "Lafaz tersebut berbunyi : 'Ala khuluqi rojulin." Abu Kuraib berkata : "Lafaz tersebut berbunyi : 'Ala khalqi rojulin." Ibnu Abi Syaibah berkata : "(Lafaz) seterusnya ialah : 'Ala surati abihim (Sama rupa bentuk seperti bapa mereka [iaitu Nabi Adam])."
- (Hadis SAHIH riwayat Imam Muslim, 8/147).

إِنَّ أَوَّلَ زُمْرَةٍ يَدْخُلُوْنَ الْجَنَّةَ عَلَى صُوْرَةِ الْقَمَرِ لَيْلَةَ الْبَدْرِ ثُمَّ الَّذِيْنَ يَلُوْنَهُمْ عَلَى أَشَدِّ كَوْكَبٍ دُرِّيٍّ فِي السَّمَاءِ إِضَاءَةً لاَ يَبُوْلُوْنَ وَلاَ يَتَغَوَّطُوْنَ وَلاَ يَتْفُلُوْنَ وَلاَ يَمْتَخِطُوْنَ... وَأَزْوَاجُهُمْ الْحُوْرُ الْعِيْنُ عَلَى خُلُقِ رَجُلٍ وَاحِدٍ عَلَى صُوْرَةِ أَبِيْهِمْ آدَمَ سِتُّوْنَ ذِرَاعًا فِي السَّمَاءِ

Maksudnya : "Sesungguhnya kumpulan (manusia) pertama yang masuk (ke dalam) syurga (ialah) seperti bulan di malam purnama. Kemudian orang-orang yang mengikuti mereka (ialah) seperti bintang yang sangat terang di langit yang cerah. Mereka tidak buang air kecil, tidak buang air besar, tidak meludah (tidak berkahak), tidak berhingus... Dan isteri-isteri mereka ialah para bidadari. Penciptaan seorang manusia (rupa bentuk tubuh mereka semua ialah) sama seperti rupa bentuk tubuh bapa mereka (iaitu Nabi) Adam (dengan ketinggian) ENAM PULUH HASTA (yang menjulang tinggi) ke langit."
- (Hadis SAHIH riwayat Imam al-Bukhari, no. 3327).

Daripada Abu Hurairah r.a, Rasulullah SAW bersabda :

فَكُلُّ مَنْ يَدْخُلُ الْجَنَّةَ عَلَى صُورَةِ آدَمَ وَطُولُهُ سِتُّونَ ذِرَاعًا فَلَمْ يَزَلْ الْخَلْقُ يَنْقُصُ بَعْدَهُ حَتَّى اْلآنَ

Maksudnya : “Adapun setiap orang yang masuk (ke dalam) syurga (mempunyai) rupa bentuk seperti (Nabi) Adam dan tingginya (ialah) ENAM PULUH HASTA. Manakala (tubuh badan) manusia (di dunia) terus mengecil (menyusut) selepasnya (selepas Nabi Adam) sehingga sekarang.”
- (Hadis muttafaqun ‘alaih).

عن أَبي هُرَيْرَةَ عَنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَذَكَرَ أَحَادِيثَ مِنْهَا وَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ خَلَقَ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ آدَمَ عَلَى صُورَتِهِ طُولُهُ سِتُّونَ ذِرَاعًا فَلَمَّا خَلَقَهُ قَالَ اذْهَبْ فَسَلِّمْ عَلَى أُولَئِكَ النَّفَرِ وَهُمْ نَفَرٌ مِنْ الْمَلَائِكَةِ جُلُوسٌ فَاسْتَمِعْ مَا يُجِيبُونَكَ فَإِنَّهَا تَحِيَّتُكَ وَتَحِيَّةُ ذُرِّيَّتِكَ قَالَ فَذَهَبَ فَقَالَ السَّلَامُ عَلَيْكُمْ فَقَالُوا السَّلَامُ عَلَيْكَ وَرَحْمَةُ اللَّهِ قَالَ فَزَادُوهُ وَرَحْمَةُ اللَّهِ قَالَ فَكُلُّ مَنْ يَدْخُلُ الْجَنَّةَ عَلَى صُورَةِ آدَمَ وَطُولُهُ سِتُّونَ ذِرَاعًا فَلَمْ يَزَلْ الْخَلْقُ يَنْقُصُ بَعْدَهُ حَتَّى الْآنَ

Maksudnya : Daripada Abu Hurairah, daripada Rasulullah SAW, bahawa beliau teringat (sesuatu) perbualan daripadanya, lalu telah bersabda Rasulullah SAW : “Allah ‘Azza Wa Jalla telah menciptakan (Nabi) Adam dengan kekuasaan-Nya. Tingginya (Nabi Adam ialah) ENAM PULUH HASTA. Selepas menciptanya, Dia (Allah SWT) berfirman (kepada Nabi Adam) : “Pergilah dan ucapkanlah salam kepada kumpulan tersebut. Mereka ialah para malaikat yang sedang duduk-duduk. Dan dengarkanlah salam yang mereka sampaikan kepada kamu, kerana salam tersebut ialah salam untuk kamu dan salam untuk anak keturunan kamu (bangsa manusia).” Baginda (SAW) bersabda : “Lalu (Nabi) Adam pergi ke tempat mereka dan berkata : "Assalamu’alaikum." Mereka (para malaikat) menjawab : "Assalamu’alaika warahmatullah." Baginda (SAW) bersabda : "Mereka (para malaikat) menambahnya (salam) dengan (lafaz) warahmatullah." (Kemudian) Baginda (SAW) bersabda : “Adapun setiap orang yang masuk (ke dalam) syurga, (maka) rupa bentuknya seperti (Nabi) Adam dan tingginya pula ialah ENAM PULUH HASTA. Manakala (tubuh badan) manusia (di dunia) terus mengecil (menyusut) selepasnya (selepas Nabi Adam) sehingga sekarang.”
- (Hadis SAHIH riwayat Imam Muslim, 8/149).

.والله سبحانه وتعالى أعلم وهو يهدي من يشاء إلى سبيل الهدى والرشاد

--------------

*Tulisan atau jawapan di atas hanyalah pandangan saya sebagai seorang hamba yang faqir lagi dha'if di sisi Allah SWT untuk sekadar memenuhi kehendak dan hajat individu yang bertanyakan soalan kepada saya. Maka boleh jadi pandangan dan jawapan tersebut salah sepenuhnya, silap semuanya dan bertentangan dengan disiplin ilmu Islam yang telah disusun oleh para ulama yang mujtahid dan mu'tabar. Oleh itu, mohon supaya tidak berpegang dengan pendapat dan jawapan tersebut, dan mohon supaya ianya tidak dijadikan hujjah dan sandaran. Jawapan tersebut juga boleh diabaikan, dipadam atau dibuang terus. Jika masih hadapi kemusykilan berkaitan dengan persoalan agama dan hukum, maka boleh rujuk terus para ulama yang mu'tabar lagi mujtahid, yang benar (haq) dan diiktiraf keilmuannya. Sesungguhnya hanya kepada Allah SWT sahajalah kita memohon dan berserah.

.الله المستعان

2 ulasan:

  1. http://syamsulhadisukor.blogspot.my/2017/04/saiz-dan-ukuran-tubuh-badan-penghuni_26.html?m=1

    BalasPadam
  2. assalamualaikum, mau tanya, udtadz, bgaimna mendapatkn kitab al iitihaf al amajid binafaisil fawaid karya snu munyah ass sskunji, saya beli di toko kitab kok nggk ada? mhon bantuanya. trm ksh

    BalasPadam