Isnin, 10 Februari 2020

PERBEZAAN ANTARA HADITH SAHIH LIGHAIRIHI DENGAN HADITH HASAN


SOALAN :

Beza ke hadis sahih lighairihi dgn hadis hasan?

JAWAPAN :

Ada perbezaan antara Hadith Sahih Lighairihi dengan Hadith Hasan Lizatihi, dan ada juga persamaan antara kedua-duanya.

Perbezaannya ialah :

Hadith Sahih Lighairihi memang berasal daripada Hadith Hasan Lizatihi. Tetapi Hadith Hasan Lizatihi itu dinaikkan tarafnya menjadi Hadith Sahih Lighairihi kerana dua sebab :

1) Hadith Hasan Lizatihi tersebut DIRIWAYATKAN OLEH PARA PERAWI YANG SUDAH TERKENAL DENGAN KEBENARAN DAN KEBAIKANNYA walaupun mereka tidak mencapai tahap al-Hafiz sepertimana para perawi Hadith Sahih Lizatihi. Justeru, Hadith Hasan Lizatihi tersebut diangkat menjadi Hadith Sahih Lighairihi. Inilah perbezaan pertama antara Hadith Sahih Lighairihi dengan Hadith Hasan Lizatihi.

2) Hadith Hasan Lizatihi tersebut DIRIWAYATKAN MELALUI JALAN SANAD LAIN YANG SAHIH DAN MEMPUNYAI KEKUATAN UNTUK MENDUKUNG HADITH ITU KE TAHAP DHABIT (iaitu penjagaan hadith yang sempurna). Justeru, Hadith Hasan Lizatihi tersebut dinaikkan tarafnya menjadi Hadith Sahih Lighairihi. Inilah perbezaan kedua antara Hadith Sahih Lighairihi dengan Hadith Hasan Lizatihi.

Kesimpulannya, Hadith Sahih Lighairihi MEMPUNYAI PARA PERAWI YANG SUDAH TERKENAL DENGAN KEBENARAN DAN KEBAIKANNYA, dan ia juga DIRIWAYATKAN MELALUI JALAN SANAD LAIN YANG SAHIH DAN MEMPUNYAI KEKUATAN UNTUK MENDUKUNG HADITH ITU KE TAHAP DHABIT. Manakala Hadith Hasan Lizatihi pula TIDAK MEMPUNYAI ciri-ciri sepertimana yang dinyatakan di atas.

Walau bagaimanapun, persamaan antara Hadith Sahih Lighairihi dengan Hadith Hasan Lizatihi ialah :

1) Menurut pandangan Ibnu Hibban, al-Hakim dan Ibnu Khuzaimah, kedudukan Hadith Hasan adalah SETARAF dengan Hadith Sahih. Tetapi mereka tetap meletakkan darjat Hadith Sahih lebih tinggi dan mestilah diutamakan terlebih dahulu daripada Hadith Hasan.

2) Manakala menurut pandangan majoriti Ahli Hadith pula, hukum berhujah dengan Hadith Hasan adalah SAMA sepertimana berhujah dengan Hadith Sahih. Tetapi darjat para perawi Hadith Hasan tidak mencapai darjat para perawi Hadith Sahih. Ini kerana kedhabitan para perawi Hadith Hasan adalah kurang sedikit berbanding dengan para perawi Hadith Sahih. Justeru, kekuatan hujahnya adalah kurang berbanding dengan Hadith Sahih.

والله سبحانه وتعالى أعلم وهو يهدي من يشاء إلى سبيل الهدى والرشاد

AL-FAQIR ILALLAH :

AL-FAQIR SYAMSUL HADI BIN ABDUL SUKOR.
Pengajian al-Quran dan al-Sunnah (PBJJ),
Pusat Kelestarian Turath Islami,
Fakulti Pengajian Islam,
Universiti Kebangsaan Malaysia.
(Isnin, 14 Safar 1441 Hijriyyah / 14 Oktober 2019).

RUJUKAN :

1. Mohd Akil Muhamed Ali. t.t. Nota Ulum Hadith : Mudah Ringkas Padat. Bangi : Pusat Kelestarian Turath Islami, FPI, UKM.

2. Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan. 2016. Irsyad al-Hadith Siri Ke-104 : Hadith Sahih. Official Website Mufti of Federal Territory, 29 Julai, https://muftiwp.gov.my/en/artikel/irsyad-al-hadith/1129-irsyad-al-hadith-siri-ke-104-hadith-sahih [14 Oktober 2019].

3. Rosmawati Ali @ Mat Zin. 2005. Pengantar Ulum Hadis. Edisi Kedua. Kuala Lumpur : Pustaka Salam Sdn Bhd.

NOTA HUJUNG :

1. Hadith Sahih Lighairihi ialah Hadith Hasan Lizatihi apabila diriwayatkan daripada tariq (jalan/sanad) lain yang sama sepertinya ataupun lebih kuat daripadanya.

2. Hadith Hasan Lizatihi ialah hadith yang bersambung sanad dengan pemindahan oleh perawi adil yang kurang sedikit dhabitnya daripada perawi yang sama sepertinya sehingga ke penghujung sanad tanpa syaz (kejanggalan) dan ‘illah (kecacatan). Hukum Hadith Hasan Lizatihi ialah sama dengan Hadith Sahih dari segi kedudukannya sebagai Hadith Maqbul yang boleh dibuat hujah atau dalil Syara’.

3. Dhabit ialah orang yang kuat dan sempurna hafalannya, selamat daripada melakukan kesalahan, dan berkemampuan untuk menyatakan apa-apa sahaja yang dihafalnya pada bila-bila masa yang dikehendaki. Dhabit terbahagi kepada dua iaitu Dhabit Sodri (hafalan) dan Dhabit Kitabi (tulisan). Dhabit Sodri ialah perawi yang dapat menghafal sesuatu yang didengarinya dan mampu untuk memberitahu apa-apa sahaja yang didengar atau dihafalnya pada bila-bila masa. Manakala Dhabit Kitabi pula ialah perawi yang menjaga catatannya (tulisannya) daripada hilang, dicuri, diubah atau diselewengkan bermula dari saat dia mencatatnya sehinggalah dia diminta untuk mengemukakan catatannya.

4. Syaz ialah percanggahan antara perawi yang thiqah dengan perawi yang lebih thiqah daripadanya.

5. ‘Illah ialah sesuatu sebab yang rumit dan tersembunyi yang mencacatkan kesahihan hadith walaupun pada zahirnya tidak kelihatan. ‘Illah juga bermaksud sebarang kecacatan yang boleh menghalang sesebuah hadith itu daripada mencapai darjat sahih, contohnya seperti hadith yang terkandung di dalam sanadnya perawi yang fasiq atau pemalsu dan pendusta hadith.

6. Al-Hafiz ialah gelaran bagi seseorang yang banyak hafalan hadithnya di samping mahir dengan segala jenis dan pengenalan hadith sama ada dari sudut riwayah atau dirayah. Selain itu, dia juga menghafal sekurang-kurangnya seratus ribu (100,000) hadith dengan matan dan sanadnya sekali, serta menguasai segala keperluannya. Al-Hafiz juga dapat mensahihkan sanad dan matan dengan baik serta dapat menjarh (mencela) dan menta’dil (memuji) perawi sesuatu hadith. Antara ulama yang menyandang gelaran ini ialah seperti Ibnu Majah, Ibnu Hibban, al-Baihaqi, al-Suyuti, Ibnu Hajar al-Asqalani, al-Iraqi, Ibnu Taimiyyah, Khatib al-Baghdadi dan lain-lain. Kitab yang khusus menyenaraikan para al-Hafiz dalam bidang hadith ialah Tazkiratul Huffaz karangan Imam al-Zahabi.

WAllahu A’lam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan