Jumaat, 21 April 2017

HUKUM BERSALAMAN DENGAN IBU BAPA MERTUA BUKAN ISLAM (NON-MUSLIM)

Assalamu'alaikum.

SOALAN :

Ustaz, saya nak tanya mcmmne kalau kita kahwin dgn muallaf tapi parents dia still lagi bukan Islam (non-muslim), boleh ke kita salam dgn parents dia?

JAWAPAN :

Seseorang muslim/muslimah yang berkahwin dengan muallaf (iaitu saudara baru Islam atau saudara muslim atau istilah lain ialah muhajir), maka ibu bapa mertuanya menjadi MAHRAM MU'ABBAD (MAHRAM SELAMA-LAMANYA) kepada muslim/muslimah tersebut walaupun mereka (ibu bapa mertua) ialah orang bukan Islam (non-muslim). Ini kerana status mahram tersebut tidak terbatal (tidak tercabut) disebabkan kerana faktor agama. Bahkan faktor agama TIDAK MENJADI PENENTU kepada status mahram seseorang dengan mahramnya yang lain. Ini kerana PARA ULAMA TIDAK MENSYARATKAN seseorang yang menjadi mahram itu mestilah seorang muslim (beragama Islam). Bahkan apa sahaja perbuatan yang boleh dilakukan terhadap mahram yang muslim juga boleh dilakukan kepada mahram yang bukan Islam, contohnya seperti bersalaman/berjabat tangan. Pendirian PARA ULAMA terhadap perkara ini boleh dirujuk di dalam kitab Mughni al-Muhtaj (3/133), al-Mughni (3/192-193) dengan asy-Syarhul Kabir (المغني ويليه الشرح الكبير), Hasyiah Ibnu Abidin (2/145) (رد المحتار على الدر المختار - حاشية ابن عابدين), dan Hasyiah al-'Adawi Bi Hamisy al-Kharsyi (1/248). Status mahram TETAP KEKAL sampai hari Qiamat walaupun ibu bapa mertuanya masih belum Islam (non-muslim), dan walaupun muslim/muslimah tersebut kemudiannya bercerai dengan pasangannya yang muallaf. Oleh itu, hukum seseorang muslim/muslimah yang bersalaman dengan ibu bapa mertuanya yang bukan Islam ialah HARUS (dibenarkan/dibolehkan) sama seperti bersalaman dengan ibu bapa kandung dan mahramnya yang lain. TIDAK BATAL wudhuk seseorang muslim/muslimah yang bersalaman dengan ibu bapa mertuanya yang bukan Islam. Manakala batasan aurat seseorang wanita Islam (muslimah) di hadapan bapa mertuanya yang bukan Islam ialah SAMA SEPERTI batasan aurat muslimah di hadapan bapa kandung dan mahramnya yang lain.

واللَّه أعلم بالصواب.

AL-FAQIR ILALLAH :

AL-FAQIR USTAZ SYAMSUL HADI BIN HAJI ABDUL SUKOR.
Guru,
Sekolah Menengah Agama al-Taqwa (SMAT),
Bukit Beruntung, Hulu Selangor.
(Rabu, 22 Rejab 1438 Hijriyyah / 19 April 2017).
www.syamsulhadisukor.blogspot.com

NOTA HUJUNG :

1. Yang dimaksudkan dengan MAHRAM ialah wanita yang HARAM dinikahi/dikahwini oleh seseorang lelaki. Mengenai mahram ini telah dinyatakan di dalam al-Quran, iaitu firman Allah SWT :

وَلَا تَنْكِحُوا مَا نَكَحَ آَبَاؤُكُمْ مِنَ النِّسَاءِ إِلَّا مَا قَدْ سَلَفَ إِنَّهُ كَانَ فَاحِشَةً وَمَقْتًا وَسَاءَ سَبِيلًا (٢٢) حُرِّمَتْ عَلَيْكُمْ أُمَّهَاتُكُمْ وَبَنَاتُكُمْ وَأَخَوَاتُكُمْ وَعَمَّاتُكُمْ وَخَالَاتُكُمْ وَبَنَاتُ الْأَخِ وَبَنَاتُ الْأُخْتِ وَأُمَّهَاتُكُمُ اللَّاتِي أَرْضَعْنَكُمْ وَأَخَوَاتُكُمْ مِنَ الرَّضَاعَةِ وَأُمَّهَاتُ نِسَائِكُمْ وَرَبَائِبُكُمُ اللَّاتِي فِي حُجُورِكُمْ مِنْ نِسَائِكُمُ اللَّاتِي دَخَلْتُمْ بِهِنَّ فَإِنْ لَمْ تَكُونُوا دَخَلْتُمْ بِهِنَّ فَلَا جُنَاحَ عَلَيْكُمْ وَحَلَائِلُ أَبْنَائِكُمُ الَّذِينَ مِنْ أَصْلَابِكُمْ وَأَنْ تَجْمَعُوا بَيْنَ الْأُخْتَيْنِ إِلَّا مَا قَدْ سَلَفَ إِنَّ اللَّهَ كَانَ غَفُورًا رَحِيمًا (٢٣) وَالْمُحْصَنَاتُ مِنَ النِّسَاءِ إِلَّا مَا مَلَكَتْ أَيْمَانُكُمْ كِتَابَ اللَّهِ عَلَيْكُمْ وَأُحِلَّ لَكُمْ مَا وَرَاءَ ذَلِكُمْ أَنْ تَبْتَغُوا بِأَمْوَالِكُمْ مُحْصِنِينَ غَيْرَ مُسَافِحِينَ (٢٤).

Maksudnya : “Dan janganlah kamu mengahwini (menikahi) wanita-wanita yang telah dikahwini oleh bapa kamu, kecuali pada masa yang telah lampau. Sesungguhnya perbuatan itu amatlah keji dan dibenci (oleh Allah SWT), dan (ia adalah) seburuk-buruk jalan (yang ditempuhi). DIHARAMKAN ke atas kamu (mengahwini) ibu-ibu kamu, anak-anak kamu yang perempuan, saudara-saudara (adik-beradik) kamu yang perempuan, saudara-saudara bapa kamu yang perempuan (ibu saudara sebelah bapa), saudara-saudara ibu kamu yang perempuan (ibu saudara sebelah ibu), anak-anak perempuan dari saudara-saudara kamu yang lelaki (anak perempuan saudara), anak-anak perempuan dari saudara-saudara kamu yang perempuan (anak perempuan saudara), ibu-ibu kamu yang menyusui kamu (ibu susuan), saudara perempuan susuan (adik-beradik perempuan susuan), ibu-ibu isteri kamu (IBU MERTUA), anak-anak isteri kamu (anak tiri perempuan) yang dalam jagaan kamu dari isteri yang telah kamu campuri (setubuhi), tetapi jika kamu belum mencampuri isteri kamu itu (dan kamu sudah menceraikannya), maka tidak berdosa kamu mengahwininya (anak tiri perempuan), (dan DIHARAMKAN bagi kamu) isteri-isteri anak kandung kamu (MENANTU PEREMPUAN) dan menghimpunkan (dalam perkahwinan) dua perempuan yang bersaudara (adik-beradik), kecuali yang telah terjadi pada masa lampau. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. Dan (DIHARAMKAN juga bagi kamu mengahwini) wanita yang masih bersuami, kecuali budak-budak (hamba-hamba) yang kamu miliki (kerana Allah SWT telah menetapkan hukum itu) sebagai ketetapan-Nya ke atas kamu. Dan dihalalkan bagi kamu selain daripada yang demikian (iaitu) mencari isteri-isteri dengan harta kamu untuk dikahwini (dan) BUKAN untuk berzina.”
- (Surah an-Nisa’, ayat 22-24).

2. Ibu mertua ialah MAHRAM MU'ABBAD kepada menantunya. Maksudnya ialah HARAM mengahwini ibu mertua buat selama-lamanya walaupun isteri (anak perempuan daripada ibu mertua tersebut) telah diceraikan ataupun meninggal dunia. Sebagaimana yang disebutkan dalam ayat al-Quran di atas, iaitu :

...وَأُمَّهَاتُ نِسَائِكُمْ...

Maksudnya : "...(DIHARAMKAN ke atas kamu mengahwini) ibu-ibu isteri kamu (IBU MERTUA)..."
- (Surah an-Nisa’, ayat 23).

Imam Ibnu Katsir rahimahullah menyatakan bahawa (maksudnya) :

“Adapun ibu mertua, maka dia menjadi MAHRAM (kepada seseorang menantu lelaki) ketika berlakunya aqad nikah (antara menantu lelaki tersebut) dengan anak perempuannya (anak kepada ibu mertua), walaupun si anak (anak perempuannya) sudah disetubuhi ataupun belum disetubuhi.”
- (Rujukan : Tafsir al-Quran al-‘Azim, 3:414).

Oleh yang demikian, seseorang lelaki itu boleh bersalaman/berjabat tangan dengan ibu mertuanya selagimana aman (bebas) daripada fitnah dan godaan nafsu syahwat.

3. Kitab Mughni al-Muhtaj ila Ma’rifah Ma’ani Alfaz al-Minhaj (مغني المحتاج إلى معرفة معاني ألفاظ المنهاج) merupakan sebuah kitab fiqh MAZHAB SYAFI'I. Ia adalah sebuah kitab yang disusun khusus sebagai syarah (huraian) bagi kitab Minhaj al-Tolibin karya al-Imam an-Nawawi (676 Hijriyyah) (كتب الشروح من كتاب منهاج الطالبين لامام النووى).

Kitab yang dikenali dengan judul ringkasnya sebagai Mughni al-Muhtaj ini disusun oleh seorang ulama yang terkemuka dalam Mazhab Syafi’i pada zamannya, iaitu Imam Syamsuddin Muhammad bin Ahmad al-Khatib al-Syirbini al-Qahiri (977 Hijriyyah) (الشيخ شمس الدين محمد بن الخطيب الشربيني). Di kalangan ulama Mazhab Syafi’i, beliau dikenali dengan gelaran Syamsuddin al-Khatib al-Syirbini.

Kitab Mughni al-Muhtaj ini dianggap antara tiga buah kitab huraian (syarah) bagi kitab Minhaj al-Tolibin (منهاج الطالبين) yang utama menjadi rujukan para ulama Mazhab Syafi’i, selain daripada kitab Tuhfah al-Muhtaj karya al-Imam Syihabuddin Abu al-Abbas Ahmad bin Muhammad bin Ali bin Hajar al-Makki al-Haitami (909-973 Hijriyyah) dan kitab Nihayah al-Muhtaj karya Syamsuddin Muhammad bin Abu al-Abbas Ahmad bin Hamzah bin Syihabuddin al-Ramli al-Manufi al-Misri al-Ansari (919-1004 Hijriyyah).

Imam al-Khatib al-Syirbini menyusun syarah (huraian) bagi kitab Minhaj al-Tolibin ini sebagai memenuhi permintaan para sahabatnya yang memerlukan sebuah karya yang dapat memperjelaskan maksud kitab Minhaj al-Tolibin. Ketika kali pertama menerima permintaan daripada para sahabatnya itu, beliau berasa ragu-ragu untuk memenuhi permintaan tersebut. Tetapi apabila beliau diberikan kesempatan oleh Allah SWT untuk menziarahi Masjid Nabawi dan solat dua raka’at di Raudhah, lantas tergerak di hati beliau untuk merealisasikan permintaan para sahabatnya untuk menulis syarah bagi kitab Minhaj al-Tolibin.

Dalam kitab Mughni al-Muhtaj, Imam al-Khatib al-Syirbini cuba menjelaskan kata-kata yang sukar difahami yang terdapat di dalam kitab Minhaj al-Tolibin. Beliau juga berusaha menjelaskan kitab Minhaj al-Tolibin dengan penjelasan yang ringkas tetapi jelas sehingga karya beliau ini tidak terlalu tebal. Kitab yang telah diterbitkan sebanyak 4 jilid ini sangat besar manfaatnya dan patut dimiliki serta dikaji oleh mereka yang ingin mendalami fiqh Mazhab Syafi’i.

4. Kitab al-Mughni (المغني) karya Imam Muwaffaquddin Ibnu Qudamah (541-620 Hijriyyah) ialah kitab fiqh yang menjadi rujukan utama dalam MAZHAB HANBALI. Nama sebenar beliau ialah Muwaffaquddin Abu Muhammad Abdullah bin Muhammad bin Qudamah al-Jamma’ili al-Maqdisi al-Dimasyqi al-Salihi al-Hanbali. Ibnu Qudamah telah menyusun kitab ini dengan metodologi perbahasan fiqh perbandingan (Fiqh al-Muqarran) antara mazhab, iaitu dengan menjadikan mazhab fiqh Imam Ahmad bin Hanbal sebagai keutamaan, kerana ia dilahirkan daripada kalangan kelompok Mazhab Hanbali.

Kitab al-Mughni asalnya disusun oleh Ibnu Qudamah sebagai huraian (syarah) bagi Mukhtasar al-Khiraqi (مختصر الخرقي على مذهب الامام أحمد بن حنبل), iaitu sebuah kitab yang menghimpunkan masalah-masalah fiqh menurut Mazhab Hanbali yang telah disusun oleh Imam Abu al-Qasim Umar bin al-Husain al-Khiraqi (334 Hijriyyah). Namun begitu, dalam kitab ini Ibnu Qudamah bukan hanya sekadar menjelaskan ungkapan-ungkapan yang terdapat di dalam kitab al-Mukhtasar, bahkan beliau juga turut mengemukakan perbezaan pendapat yang berlaku dan berkembang di kalangan para ulama Mazhab Hanbali dalam pelbagai masalah berserta hujah-hujah dalilnya.

Ibnu Qudamah memperluaskan lagi perbahasan fiqh di dalam kitab ini dengan membuat perbandingan dengan pendapat-pendapat daripada kalangan ulama mazhab yang lain sama ada Mazhab Maliki, Imam Abu Hanifah (Mazhab Hanafi) dan Imam al-Syafi'i (Mazhab Syafi'i). Bahkan beliau juga ada menyebutkan mengenai pendapat mazhab-mazhab yang sudah tidak berkembang lagi seperti mazhab Imam Hasan al-Basri, ‘Atha’, Sufyan al-Tsauri dan lain-lain. Selain itu, turut disentuh juga beberapa pendapat ulama daripada kalangan sahabat dan generasi tabi’in.

Ibnu Qudamah menyebutkan dalil-dalil yang digunakan oleh ulama lainnya yang mengungkapkan suatu pendapat dalam masalah tertentu. Kemudian dalil tersebut beliau jelaskan mengenai sisi kekuatan dan kelemahannya. Ibnu Qudamah mengakhiri setiap perbahasan tersebut dengan menjelaskan kesimpulan yang paling tepat berdasarkan ijtihad beliau.

Tidak diragukan lagi bahawa kitab al-Mughni ini merupakan kitab kajian fiqh yang dianggap sebagai ensiklopedia fiqh Islam dari zaman salaf (salafussoleh) yang terbaik dan telah disusun dalam bentuk fiqh perbandingan, di mana pada ketika itu kitab-kitab seperti ini masih begitu jarang ditemui. Kitab ini dianggap sebaris dengan deretan karya-karya Fiqh al-Muqarran (fiqh perbandingan) yang lain seperti al-Majmu’ karya Imam an-Nawawi dan Bidayah al-Mujtahid wa Nihayah al-Muqtasid karya Ibnu al-Rusyd.

Oleh kerana itu, para ulama yang berasal daripada pelbagai mazhab turut memandang kitab ini dengan pandangan yang penuh penghargaan dan penelitian serta dianggap sebagai salah satu rujukan ulung dalam bidangnya. Ini sekaligus memberikan suatu sumbangan yang berharga dalam menangani pelbagai isu-isu fanatik melampau (ta'sub) khususnya kepuakan dalam kelompok aliran / mazhab. Sebagaimana kitab-kitab fiqh yang lain, kitab ini dimulakan dengan perbahasan fiqh taharah, wudhuk, mandi, solat, solat-solat sunat, pengurusan jenazah, haji dan umrah, zakat, puasa, sehinggalah kepada perbahasan-perbahasan lain yang lebih terperinci dalam pelbagai cabang fiqh seperti sembelihan, buruan, pernikahan (dan munakahat), kekeluargaan, mu'amalah, jual beli, wasiat, luqatah, hutang-piutang, jihad, peperangan, pemerintahan, politik dan banyak lagi.

Antara pujian ulama terhadap Ibnu Qudamah dan karya beliau kitab al-Mughni ialah :

i) Imam Ibnu Muflih rahimahullah (763 Hijriyyah) berkata (maksudnya) : "Muwaffaquddin Ibnu Qudamah telah menyibukkan dirinya dalam menyusun sebuah kitab mengenai Islam, (dan) cita-cita beliau tersebut telah pun tercapai. Kitab beliau ini merupakan kitab yang sangat bagus dalam Mazhab Hanbali. Beliau telah berjasa menyusun kitab tersebut dan telah melakukannya dengan baik sekali. Kitab beliau telah menghiasi Mazhab Hanbali dan telah dibaca oleh orang ramai (para penuntut ilmu) di hadapannya."

ii) Pengarang kitab al-Wafi bi al-Wafayat, iaitu Imam Solahuddin Sofdi rahimahullah (764 Hijriyyah) berkata (maksudnya) : "Beliau (Ibnu Qudamah) ialah orang nombor satu pada zamannya. Beliau ialah imam yang sangat menguasai ilmu khilaf (perbezaan pendapat di kalangan para ulama dan mazhab), ilmu fara'id, usul fiqh, ilmu feqah, ilmu nahwu, ilmu hisab (matematik), astronomi dan al-manak. Dalam kurun masa tertentu, beliau telah menyebabkan orang ramai (pada zamannya) menjadi sibuk untuk mengkaji kitab al-Khiraqi, kitab al-Hidayah dan kemudian kitab Mukhtasar al-Hidayah. Selepas itu, beliau menyebabkan orang ramai menjadi sibuk pula untuk mengkaji (mendalami) kitab-kitab hasil tulisannya."

*Berdasarkan terbitan Dar ‘Alam al-Kutub, Riyadh pada tahun 1997, kitab al-Mughni telah dicetak dalam 15 jilid. Edisi terbitan ini telah ditahqiq (dianalisis) oleh Dr. Abdullah bin Abdul Muhsin al-Turki dan Dr. Abdul Fattah Muhammad al-Halu.

5. Kitab Rad al-Muhtar 'Ala al-Dur al-Mukhtar (رد المحتار على الدر المختار) atau dikenali sebagai Hasyiah Ibnu Abidin (حاشية ابن عابدين) ialah sebuah kitab yang terkenal hasil karya Ibnu Abidin. Nama sebenar Ibnu Abidin ialah Muhammad Amin bin Umar Ibnu Abdul Aziz Abidin al-Dimasyqi. Beliau merupakan salah seorang fuqaha dan tokoh ulama MAZHAB HANAFI pada zamannya. Ibnu Abidin dilahirkan di Syam (Syria) pada tahun 1198 Hijriyyah daripada pasangan Umar bin Abdul Aziz Abidin dengan Asiah binti Ahmad bin Abdul Rahim. Ibnu Abidin hidup pada zaman pemerintahan Sultan Abdul Hamid I (Khalifah Kerajaan Turki Uthmaniyyah), dan beliau juga merupakan ulama fiqh Mazhab Hanafi generasi ke-6. Pada zaman Ibnu Abidin, situasi politik Kerajaan Turki Uthmaniyyah sedang mengalami pergolakan akibat peperangan antara Kerajaan Turki Uthmaniyyah dengan bangsa Tartar (Mongol). Situasi ini banyak mempengaruhi pemikiran mahupun kehidupan Ibnu Abidin kemudiannya. Kehidupan Ibnu Abidin banyak dihabiskan untuk kegiatan ilmu-ilmu Islam khususnya yang bercorak fiqh Mazhab Hanafi.

Karya beliau iaitu kitab Rad al-Muhtar 'Ala al-Dur al-Mukhtar (Hasyiah Ibnu Abidin) membahaskan tentang masalah-masalah feqah. Kitab ini merupakan kitab fiqh terkenal yang disusun sesuai dengan Mazhab Hanafi oleh para ulama Hanafiyyah generasi Muta'akhirin. Kitab ini banyak menghuraikan permasalahan yang muncul pada zaman itu dengan menggunakan metodologi dalam Mazhab Hanafi.

Kitab Rad al-Muhtar 'Ala al-Dur al-Mukhtar (Hasyiah Ibnu Abidin) merupakan syarah bagi kitab al-Dur al-Mukhtar oleh al-Haskafi yang merupakan syarah bagi kitab Tanwir al-Absar. Manakala Tanwir al-Absar ialah kitab karya Muhammad bin Abdullah bin Ahmad al-Katib al-Tamartasyi. Kitab ini sangat ringkas dan disusun dengan susunan (sistematik) fiqh.

- [Rujukan : (1) Muhammad Amin al-Syahir Bi Ibnu Abidin, Rad al-Muhtar 'Ala al-Dur al-Mukhtar Syarah Tanwir al-Absar, bahagian 1, Beirut, Lubnan : Dar al-Kitab al-Ilmiyyah, halaman 53. (2) Abdul Aziz Dahlan, Ensiklopedia Hukum Islam, Jakarta : Ichtiar Baru Van Houve, 1996, halaman 347].

6. Untuk jawapan yang lebih tepat dan jelas, boleh rujuk klip video ceramah/kuliah Ustaz Azhar Idrus yang menjawab persoalan ini. Boleh buka pautan berikut :

Hukum Menantu Bersalam Dengan Mertua Bukan Islam - Ustaz Azhar Idrus.
https://m.youtube.com/watch?v=xWj7gQatIeU

والله سبحانه وتعالى أعلم وهو يهدي من يشاء إلى سبيل الهدى والرشاد.

--------------

*Tulisan atau jawapan di atas hanyalah sekadar pandangan saya sebagai seorang hamba yang faqir lagi dha'if di sisi Allah SWT untuk memenuhi kehendak dan hajat individu yang bertanyakan soalan kepada saya. Maka boleh jadi pandangan dan jawapan tersebut salah sepenuhnya, silap semuanya dan bercanggah dengan disiplin ilmu Islam yang telah disusun oleh para ulama yang mujtahid dan mu'tabar. Oleh itu, mohon supaya tidak berpegang dengan pandangan dan jawapan tersebut, serta mohon supaya ianya tidak dijadikan hujjah dan sandaran. Jawapan tersebut juga boleh diabaikan, dipadam atau dibuang terus. Jika masih hadapi kemusykilan berkaitan dengan persoalan agama dan hukum, maka boleh rujuk terus kepada para ulama yang mu'tabar lagi mujtahid, yang benar (haq) dan diiktiraf keilmuannya. Sesungguhnya kepada Allah SWT sahajalah kita memohon dan berserah.

الله المستعان.

1 ulasan:

  1. https://syamsulhadisukor.blogspot.my/2017/04/hukum-bersalaman-dengan-mertua-bukan.html?m=1

    BalasPadam