Jumaat, 21 April 2017

ASSALAMU'ALAIKUM. SALAM PERKENALAN.

بسم الله الرحمن الرحيم

Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Alhamdulillah. Segala puji bagi Allah SWT, Tuhan sekalian alam.
Selawat dan salam sejahtera ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda dan para sahabatnya yang tercinta.

Hari ini Jumaat, tanggal 24 Rejab 1438 Hijriyyah / 21 April 2017, terhasillah sebuah blog peribadi saya ini. Blog ini dibangunkan untuk memuatkan semua tulisan dan pandangan peribadi saya yang pernah disiarkan dalam group WhatsApp dan Telegram sebelum ini. Blog ini juga akan memuatkan segala idea, luahan dan pandangan saya selepas ini dari semasa ke semasa. Diari perjalanan kehidupan saya juga akan turut dimuatkan, insya-Allah.

Tulisan atau coretan saya dalam blog ini hanyalah sekadar pandangan kecil peribadi saya sebagai seorang hamba yang faqir lagi dha'if di sisi Allah SWT. Hanya sekadar tulisan biasa yang tiada apa-apa keistimewaan. Bahkan mungkin ada antara tulisan-tulisan saya ini yang salah semuanya, silap sepenuhnya dan bertentangan dengan disiplin ilmu Islam yang telah disusun oleh para ulama yang mu'tabar lagi mujtahid. Oleh itu, saya memohon maaf di atas segala kelemahan dan kekurangan diri ini. Sebagai seorang hamba yang faqir lagi dha'if di sisi Allah SWT, maka saya tidak terlepas daripada sebarang kesalahan dan kesilapan. Justeru, mohon supaya semua tulisan dan pandangan saya di dalam blog ini tidak dijadikan hujjah dan sandaran. Bahkan ia boleh dibuang dan diabaikan semuanya.

Jika ada sebarang perkara yang tidak bersetuju atau tidak berpuas hati dengan mana-mana tulisan saya ini serta ingin melontarkan komentar dan ulasan, maka saya harap komenlah dan kritiklah dengan cara yang berhikmah, beradab dan berilmu. Jangan sesekali melontarkan kata-kata kesat, kasar, kecaman dan maki-hamun yang tidak selayaknya dilakukan oleh seseorang manusia yang mempunyai jiwa, emosi, rohani dan akal fikiran.

Walau bagaimanapun, saya masih mengharapkan segala tulisan dan pandangan saya ini dapat memberikan manfaat kepada Islam dan umat Islam walaupun tidak banyak dan hanya sekelumit cuma. Mudah-mudahan ia dapat dijadikan sebagai bekalan pahala di akhirat kelak, seterusnya menjadi asbab mendapat rahmat dan maghfirah daripada Allah SWT.

Sekian. Terima kasih.

AL-FAQIR ILALLAH :

Al-Faqir Syamsul Hadi bin Haji Abdul Sukor.
(Jumaat, 24 Rejab 1438 Hijriyyah / 21 April 2017).

2 ulasan: