Isnin, 10 Februari 2020

PERBEZAAN ANTARA HADITH SAHIH LIGHAIRIHI DENGAN HADITH HASAN


SOALAN :

Beza ke hadis sahih lighairihi dgn hadis hasan?

JAWAPAN :

Ada perbezaan antara Hadith Sahih Lighairihi dengan Hadith Hasan Lizatihi, dan ada juga persamaan antara kedua-duanya.

Perbezaannya ialah :

Hadith Sahih Lighairihi memang berasal daripada Hadith Hasan Lizatihi. Tetapi Hadith Hasan Lizatihi itu dinaikkan tarafnya menjadi Hadith Sahih Lighairihi kerana dua sebab :

1) Hadith Hasan Lizatihi tersebut DIRIWAYATKAN OLEH PARA PERAWI YANG SUDAH TERKENAL DENGAN KEBENARAN DAN KEBAIKANNYA walaupun mereka tidak mencapai tahap al-Hafiz sepertimana para perawi Hadith Sahih Lizatihi. Justeru, Hadith Hasan Lizatihi tersebut diangkat menjadi Hadith Sahih Lighairihi. Inilah perbezaan pertama antara Hadith Sahih Lighairihi dengan Hadith Hasan Lizatihi.

2) Hadith Hasan Lizatihi tersebut DIRIWAYATKAN MELALUI JALAN SANAD LAIN YANG SAHIH DAN MEMPUNYAI KEKUATAN UNTUK MENDUKUNG HADITH ITU KE TAHAP DHABIT (iaitu penjagaan hadith yang sempurna). Justeru, Hadith Hasan Lizatihi tersebut dinaikkan tarafnya menjadi Hadith Sahih Lighairihi. Inilah perbezaan kedua antara Hadith Sahih Lighairihi dengan Hadith Hasan Lizatihi.

Kesimpulannya, Hadith Sahih Lighairihi MEMPUNYAI PARA PERAWI YANG SUDAH TERKENAL DENGAN KEBENARAN DAN KEBAIKANNYA, dan ia juga DIRIWAYATKAN MELALUI JALAN SANAD LAIN YANG SAHIH DAN MEMPUNYAI KEKUATAN UNTUK MENDUKUNG HADITH ITU KE TAHAP DHABIT. Manakala Hadith Hasan Lizatihi pula TIDAK MEMPUNYAI ciri-ciri sepertimana yang dinyatakan di atas.

Walau bagaimanapun, persamaan antara Hadith Sahih Lighairihi dengan Hadith Hasan Lizatihi ialah :

1) Menurut pandangan Ibnu Hibban, al-Hakim dan Ibnu Khuzaimah, kedudukan Hadith Hasan adalah SETARAF dengan Hadith Sahih. Tetapi mereka tetap meletakkan darjat Hadith Sahih lebih tinggi dan mestilah diutamakan terlebih dahulu daripada Hadith Hasan.

2) Manakala menurut pandangan majoriti Ahli Hadith pula, hukum berhujah dengan Hadith Hasan adalah SAMA sepertimana berhujah dengan Hadith Sahih. Tetapi darjat para perawi Hadith Hasan tidak mencapai darjat para perawi Hadith Sahih. Ini kerana kedhabitan para perawi Hadith Hasan adalah kurang sedikit berbanding dengan para perawi Hadith Sahih. Justeru, kekuatan hujahnya adalah kurang berbanding dengan Hadith Sahih.

والله سبحانه وتعالى أعلم وهو يهدي من يشاء إلى سبيل الهدى والرشاد

AL-FAQIR ILALLAH :

AL-FAQIR SYAMSUL HADI BIN ABDUL SUKOR.
Pengajian al-Quran dan al-Sunnah (PBJJ),
Pusat Kelestarian Turath Islami,
Fakulti Pengajian Islam,
Universiti Kebangsaan Malaysia.
(Isnin, 14 Safar 1441 Hijriyyah / 14 Oktober 2019).

RUJUKAN :

1. Mohd Akil Muhamed Ali. t.t. Nota Ulum Hadith : Mudah Ringkas Padat. Bangi : Pusat Kelestarian Turath Islami, FPI, UKM.

2. Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan. 2016. Irsyad al-Hadith Siri Ke-104 : Hadith Sahih. Official Website Mufti of Federal Territory, 29 Julai, https://muftiwp.gov.my/en/artikel/irsyad-al-hadith/1129-irsyad-al-hadith-siri-ke-104-hadith-sahih [14 Oktober 2019].

3. Rosmawati Ali @ Mat Zin. 2005. Pengantar Ulum Hadis. Edisi Kedua. Kuala Lumpur : Pustaka Salam Sdn Bhd.

NOTA HUJUNG :

1. Hadith Sahih Lighairihi ialah Hadith Hasan Lizatihi apabila diriwayatkan daripada tariq (jalan/sanad) lain yang sama sepertinya ataupun lebih kuat daripadanya.

2. Hadith Hasan Lizatihi ialah hadith yang bersambung sanad dengan pemindahan oleh perawi adil yang kurang sedikit dhabitnya daripada perawi yang sama sepertinya sehingga ke penghujung sanad tanpa syaz (kejanggalan) dan ‘illah (kecacatan). Hukum Hadith Hasan Lizatihi ialah sama dengan Hadith Sahih dari segi kedudukannya sebagai Hadith Maqbul yang boleh dibuat hujah atau dalil Syara’.

3. Dhabit ialah orang yang kuat dan sempurna hafalannya, selamat daripada melakukan kesalahan, dan berkemampuan untuk menyatakan apa-apa sahaja yang dihafalnya pada bila-bila masa yang dikehendaki. Dhabit terbahagi kepada dua iaitu Dhabit Sodri (hafalan) dan Dhabit Kitabi (tulisan). Dhabit Sodri ialah perawi yang dapat menghafal sesuatu yang didengarinya dan mampu untuk memberitahu apa-apa sahaja yang didengar atau dihafalnya pada bila-bila masa. Manakala Dhabit Kitabi pula ialah perawi yang menjaga catatannya (tulisannya) daripada hilang, dicuri, diubah atau diselewengkan bermula dari saat dia mencatatnya sehinggalah dia diminta untuk mengemukakan catatannya.

4. Syaz ialah percanggahan antara perawi yang thiqah dengan perawi yang lebih thiqah daripadanya.

5. ‘Illah ialah sesuatu sebab yang rumit dan tersembunyi yang mencacatkan kesahihan hadith walaupun pada zahirnya tidak kelihatan. ‘Illah juga bermaksud sebarang kecacatan yang boleh menghalang sesebuah hadith itu daripada mencapai darjat sahih, contohnya seperti hadith yang terkandung di dalam sanadnya perawi yang fasiq atau pemalsu dan pendusta hadith.

6. Al-Hafiz ialah gelaran bagi seseorang yang banyak hafalan hadithnya di samping mahir dengan segala jenis dan pengenalan hadith sama ada dari sudut riwayah atau dirayah. Selain itu, dia juga menghafal sekurang-kurangnya seratus ribu (100,000) hadith dengan matan dan sanadnya sekali, serta menguasai segala keperluannya. Al-Hafiz juga dapat mensahihkan sanad dan matan dengan baik serta dapat menjarh (mencela) dan menta’dil (memuji) perawi sesuatu hadith. Antara ulama yang menyandang gelaran ini ialah seperti Ibnu Majah, Ibnu Hibban, al-Baihaqi, al-Suyuti, Ibnu Hajar al-Asqalani, al-Iraqi, Ibnu Taimiyyah, Khatib al-Baghdadi dan lain-lain. Kitab yang khusus menyenaraikan para al-Hafiz dalam bidang hadith ialah Tazkiratul Huffaz karangan Imam al-Zahabi.

WAllahu A’lam.

PANDANGAN TERHADAP ISU BERTUKAR-TUKAR HADIAH MELALUI CARA UNDIAN

1. Menurut sebahagian ulama daripada kalangan Fuqaha, pemberian hadiah (hibah) tidak boleh diikat dengan syarat. Antaranya ialah syarat mendapatkan balasan apabila memberi hadiah. Syarat tersebut tidak boleh diikat dalam ‘aqad hibah.

2. Apabila pemberian hadiah diikat dengan syarat mendapatkan balasan, maka ia bukan lagi ‘aqad hibah. Tetapi ia telah bertukar menjadi ‘aqad jual-beli (al-Bay’) pertukaran barang. Ini berdasarkan kepada pandangan Imam Malik dan jumhur ulama Mazhab al-Syafi’i yang berpendapat bahawa jika pemberian hibah disertai dengan syarat balasan, maka hibah tersebut mengambil hukum jual-beli (‘Aqad al-Bay’). (Rujuk : Al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab karangan al-Imam al-Nawawi, Jilid 15, halaman 375, dan Mughni al-Muhtaj Ila Ma’rifah Ma’ani Alfaz al-Minhaj karya al-Imam Syamsuddin al-Khatib al-Syirbini, Jilid 2, halaman 522).

3. ‘Aqad jual-beli pertukaran barang pula menjadi sah jika memenuhi semua rukun ‘aqad jual-beli iaitu ‘Aqidan (penjual dan pembeli), Ma’qud ‘Alaih (barang dan harga barang) dan lafaz Sighah (Ijab dan Qabul). Walaupun berbeza nilai dan kuantiti antara pertukaran dua barang yang berbeza, ‘aqad jual-beli tetap sah selagimana ia memenuhi rukun, syarat, ‘uruf setempat, saling bersetuju dan meredhai (iaitu tiada unsur paksaan), dan tidak melibatkan barang ribawi yang sama jenis (contohnya pertukaran emas dengan emas).

4. Justeru dalam kes pertukaran hadiah, ia bukan lagi ‘aqad hibah, tetapi ia sudah bertukar menjadi ‘aqad jual-beli pertukaran barang. Maka ia tetap sah dan barang tersebut halal digunakan.

5. Tetapi yang menjadi masalah ialah pertukaran hadiah ini melalui undian. Apabila melalui undian, maka berlakulah gharar (ketidakpastian / manipulasi) pada rukun ‘aqad jual-beli iaitu ‘Aqidan (penjual dan pembeli) dan Ma’qud ‘Alaih (barang dan harga barang). Maksudnya ialah tidak jelas dan tidak pasti dari segi penjual, pembeli, barang dan harganya. Ini menyebabkan berlakunya unsur paksaan, tidak saling bersetuju dan tidak meredhai untuk bertukar barang.

6. Contohnya pada rukun barang yang di’aqadkan (Ma’qud ‘Alaih), barang tersebut mestilah diketahui dengan jelas oleh kedua-dua pihak yang ber’aqad, dan ia hendaklah ditentukan secara khusus. Selain itu, harga barang iaitu kadar nilai barang yang dijual hendaklah dipersetujui oleh kedua-dua pihak. (Rujuk : Hailani Muji Tahir & Sanep Ahmad. 2009. Aplikasi Fiqh Muamalat Dalam Sistem Kewangan Islam. Shah Alam : UPENA UiTM. Halaman 69).

7. Tetapi dalam kes bertukar-tukar hadiah melalui cara undian, barang tidak diketahui dengan jelas dan tidak ditentukan secara khusus. Bahkan harga barang juga tidak ditetapkan lebih awal dan tidak diketahui oleh kedua-dua pihak. Ini menyebabkan timbulnya perasaan tidak puas hati, tidak bersetuju dan tidak redha dengan barang yang diterima. Sedangkan antara syarat pada barang yang di’aqadkan (Ma’qud ‘Alaih) ialah ia mesti diketahui, iaitu dapat dilihat dengan jelas, diketahui kuantiti, berat dan jenisnya. ‘Aqad jual-beli pertukaran barang menjadi tidak sah jika menimbulkan penyesalan (kecewa dan tidak puas hati) kepada salah satu pihak. (Rujuk : Idris Ahmad S.H. 2012. Fiqh Syafii. Jilid 2. Kuala Lumpur : Pustaka Antara. Halaman 13).

8. Maka dalam kes bertukar-tukar hadiah melalui cara undian ini, ‘aqad jual-beli pertukaran barang tersebut adalah terbatal, fasid (rosak) dan tidak sah kerana wujud unsur gharar pada rukun ‘aqad jual-beli, wujud unsur paksaan, tidak saling bersetuju dan tidak meredhai untuk bertukar barang. Justeru, ‘aqad berkenaan tidak sah dan barang tersebut tidak halal digunakan oleh kedua-dua pihak yang ber’aqad.

WAllahu A’lam.

AL-FAQIR ILALLAH :

AL-FAQIR SYAMSUL HADI BIN ABDUL SUKOR.
Pengajian al-Quran dan al-Sunnah,
Pusat Kelestarian Turath Islami,
Fakulti Pengajian Islam,
Universiti Kebangsaan Malaysia.
(Ahad, 10 Sya'ban 1440 Hijriyyah / 14 April 2019).

RUJUKAN :

1. Hailani Muji Tahir & Sanep Ahmad. 2009. Aplikasi Fiqh Muamalat Dalam Sistem Kewangan Islam. Shah Alam : UPENA UiTM.

2. Idris Ahmad S.H. 2012. Fiqh Syafii. Jilid 2. Kuala Lumpur : Pustaka Antara.

3. Mohd Rofaizal Ibhraim, Dr Mohamed Yusef Niteh & Maad Ahmad. 2017. Bertukar-tukar Hadiah Melalui Undian Menurut Mazhab al-Syafie. Jurnal Sultan Alauddin Sulaiman Shah, 4 (2) : 206-217.