1. Menurut sebahagian
ulama daripada kalangan Fuqaha, pemberian hadiah (hibah) tidak boleh diikat
dengan syarat. Antaranya ialah syarat mendapatkan balasan apabila memberi
hadiah. Syarat tersebut tidak boleh diikat dalam ‘aqad hibah.
2. Apabila
pemberian hadiah diikat dengan syarat mendapatkan balasan, maka ia bukan lagi ‘aqad
hibah. Tetapi ia telah bertukar menjadi ‘aqad jual-beli (al-Bay’) pertukaran
barang. Ini berdasarkan kepada pandangan Imam Malik dan jumhur ulama Mazhab
al-Syafi’i yang berpendapat bahawa jika pemberian hibah disertai dengan syarat
balasan, maka hibah tersebut mengambil hukum jual-beli (‘Aqad al-Bay’). (Rujuk
: Al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab karangan al-Imam al-Nawawi, Jilid 15, halaman 375,
dan Mughni al-Muhtaj Ila Ma’rifah Ma’ani Alfaz al-Minhaj karya al-Imam
Syamsuddin al-Khatib al-Syirbini, Jilid 2, halaman 522).
3. ‘Aqad jual-beli
pertukaran barang pula menjadi sah jika memenuhi semua rukun ‘aqad jual-beli
iaitu ‘Aqidan (penjual dan pembeli), Ma’qud ‘Alaih (barang dan harga barang)
dan lafaz Sighah (Ijab dan Qabul). Walaupun berbeza nilai dan kuantiti antara
pertukaran dua barang yang berbeza, ‘aqad jual-beli tetap sah selagimana ia
memenuhi rukun, syarat, ‘uruf setempat, saling bersetuju dan meredhai (iaitu
tiada unsur paksaan), dan tidak melibatkan barang ribawi yang sama jenis
(contohnya pertukaran emas dengan emas).
4. Justeru dalam
kes pertukaran hadiah, ia bukan lagi ‘aqad hibah, tetapi ia sudah bertukar
menjadi ‘aqad jual-beli pertukaran barang. Maka ia tetap sah dan barang
tersebut halal digunakan.
5. Tetapi yang
menjadi masalah ialah pertukaran hadiah ini melalui undian. Apabila melalui
undian, maka berlakulah gharar (ketidakpastian / manipulasi) pada rukun ‘aqad
jual-beli iaitu ‘Aqidan (penjual dan pembeli) dan Ma’qud ‘Alaih (barang dan
harga barang). Maksudnya ialah tidak jelas dan tidak pasti dari segi penjual,
pembeli, barang dan harganya. Ini menyebabkan berlakunya unsur paksaan, tidak
saling bersetuju dan tidak meredhai untuk bertukar barang.
6. Contohnya pada
rukun barang yang di’aqadkan (Ma’qud ‘Alaih), barang tersebut mestilah
diketahui dengan jelas oleh kedua-dua pihak yang ber’aqad, dan ia hendaklah
ditentukan secara khusus. Selain itu, harga barang iaitu kadar nilai barang
yang dijual hendaklah dipersetujui oleh kedua-dua pihak. (Rujuk : Hailani Muji
Tahir & Sanep Ahmad. 2009. Aplikasi Fiqh Muamalat Dalam Sistem Kewangan
Islam. Shah Alam : UPENA UiTM. Halaman 69).
7. Tetapi dalam kes
bertukar-tukar hadiah melalui cara undian, barang tidak diketahui dengan jelas
dan tidak ditentukan secara khusus. Bahkan harga barang juga tidak ditetapkan
lebih awal dan tidak diketahui oleh kedua-dua pihak. Ini menyebabkan timbulnya perasaan
tidak puas hati, tidak bersetuju dan tidak redha dengan barang yang diterima.
Sedangkan antara syarat pada barang yang di’aqadkan (Ma’qud ‘Alaih) ialah ia
mesti diketahui, iaitu dapat dilihat dengan jelas, diketahui kuantiti, berat
dan jenisnya. ‘Aqad jual-beli pertukaran barang menjadi tidak sah jika
menimbulkan penyesalan (kecewa dan tidak puas hati) kepada salah satu pihak.
(Rujuk : Idris Ahmad S.H. 2012. Fiqh Syafii. Jilid 2. Kuala Lumpur : Pustaka
Antara. Halaman 13).
8. Maka dalam kes
bertukar-tukar hadiah melalui cara undian ini, ‘aqad jual-beli pertukaran
barang tersebut adalah terbatal, fasid (rosak) dan tidak sah kerana wujud unsur
gharar pada rukun ‘aqad jual-beli, wujud unsur paksaan, tidak saling bersetuju
dan tidak meredhai untuk bertukar barang. Justeru, ‘aqad berkenaan tidak sah
dan barang tersebut tidak halal digunakan oleh kedua-dua pihak yang ber’aqad.
WAllahu A’lam.
AL-FAQIR ILALLAH :
AL-FAQIR SYAMSUL HADI BIN ABDUL SUKOR.
Pengajian al-Quran
dan al-Sunnah,
Pusat Kelestarian Turath
Islami,
Fakulti Pengajian
Islam,
Universiti
Kebangsaan Malaysia.
(Ahad, 10 Sya'ban
1440 Hijriyyah / 14 April 2019).
RUJUKAN :
1. Hailani Muji
Tahir & Sanep Ahmad. 2009. Aplikasi Fiqh Muamalat Dalam Sistem Kewangan
Islam. Shah Alam : UPENA UiTM.
2. Idris Ahmad S.H.
2012. Fiqh Syafii. Jilid 2. Kuala Lumpur : Pustaka Antara.
3. Mohd Rofaizal
Ibhraim, Dr Mohamed Yusef Niteh & Maad Ahmad. 2017. Bertukar-tukar Hadiah
Melalui Undian Menurut Mazhab al-Syafie. Jurnal Sultan Alauddin Sulaiman Shah,
4 (2) : 206-217.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan